Anda di sini

Wartawan komited laksanakan tugas sepanjang pandemik COVID-19

Advertisement
 Tan (kiri) semasa menandatangani surat serat tugas sebagai pengerusi PPT daripada Hiew.
SERAH TERIMA: Tan (kiri) semasa menandatangani surat serat tugas sebagai pengerusi PPT daripada Hiew.

TAWAU: Wartawan komited melaksanakan tugas melaporkan maklumat yang sahih kepada masyarakat walaupun berdepan risiko sepanjang penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Pengerusi Persatuan Pemberita Tawau (PPT), Tan Chin Cheng berkata kerjaya wartawan sangat mencabar kerana perlu bertugas dalam pelbagai keadaan dan situasi.

Katanya, penularan wabak COVID-19 memberikan cabaran yang getir buat semua wartawan yang ditugaskan untuk membuat laporan setiap hari.

“Wartawan perlu mengharungi pelbagai cabaran dan risiko sepanjang pandemik berlaku kerana kadang kala perlu keluar ke lokasi yang berisiko.

“Selain itu, wartawan juga perlu arif memanfaatkan semua teknologi yang ada supaya kekerapan turun ke lokasi dapat diminimakan bagi mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis angkat sumpah Ahli Jawatan Kuasa (AJK) PPT kali ke-13 dan sambutan Hari Raya, di sini semalam.

Menurutnya, majlis yang dianjurkan ini adalah yang pertama dilakukan sejak lebih dua tahun tidak diadakan susulan pandemik COVID-19.

“Kita bersyukur kerana majlis secara bersemuka boleh dilakukan semula dan dapat berkumpul mengeratkan silaturrahim antara semua ahli PPT.

“Saya berharap keadaan ini berterusan dan tidak lagi berlaku penularan wabak secara besar-besaran di negara ini sehingga terpaksa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula,” katanya.

Tan yang baharu dilantik menjadi pengerusi PPT yang baharu berharap semoga ahli dan masyarakat di daerah ini dapat memberikan sokongan kepada semua AJK yang dilantik.

“Saya akan cuba sedaya upaya meneruskan visi dan misi mantan pengerusi PPT Hiew Chee Hing supaya persatuan ini terus relevan di daerah ini.

“Kita sangat mengutamakan kebajikan semua ahli dan keluarga mereka, disamping dapat memberi manfaat kepada masyarakat Tawau,” katanya.

Terdahulu, PPT diwujudkan sejak tahun 1997 yang dipengerusikan oleh Hiew Chee Hing dan mempunyai seramai 28 orang ahli dalam kalangan wartawan dan bekas wartawan.

  • oleh
  • Advertisement