Anda di sini

Tiga ditahan, 2,700 liter diesel dirampas

Advertisement
Minyak diesel yang dipercayai tanpa permit berjaya dirampas hasil pemeriksaan ke atas salah sebuah kenderaan di Pujut 3, Miri.
Minyak diesel yang dipercayai tanpa permit berjaya dirampas hasil pemeriksaan ke atas salah sebuah kenderaan di Pujut 3, Miri.

MIRI: Sejumlah 2,700 liter minyak diesel dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima hasil pemeriksaan ke atas dua buah kenderaan di kawasan Pujut 3 di sini, lewat petang pada Jumaat. 

Komander PPM Wilayah Lima ACP Zulfikar Mohd Ghazali berkata hasil pemeriksaan tersebut juga telah menahan seorang lelaki tempatan dan dua lelaki warganegara Indonesia.
 
“Bertindak di atas maklumat, sekitar jam 6.20 petang, Unit Risikan Marin (URM) Markas Taktikal PPM Wilayah Lima Miri seramai lima anggota semasa menjalankan Op Kontraban telah menahan dan memeriksa seorang lelaki tempatan dan dua lelaki Indonesia. 

“Pemeriksaan pada sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) didapati membawa minyak diesel lebih kurang sebanyak 900 liter di dalam tangki tambahan iaitu tangki plastik segi empat di bahagian belakang. 

“Manakala sebuah lagi kenderaan iaitu van membawa minyak diesel lebih kurang sebanyak 1,800 liter yang disimpan di dalam tangki plastik segi empat di bahagian belakang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini. 

Zulfikar memberitahu pemandu kedua-dua kenderaan terbabit gagal menunjukkan atau mengemukakan sebarang bukti berdokumen kebenaran memiliki, menyimpan, membawa barang kawalan tanpa permit, tanpa lesen atau tanpa kebenaran khas dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). 

“Antara barang yang dirampas ialah dua buah kenderaan tersebut, 2,700 liter minyak diesel, tiga tangki plastik yang diubah suai pada kenderaan dan satu unit pam.
 
“Nilai keseluruhan barang yang dirampas dianggarkan berjumlah RM106,085,” ujar beliau. 

Menurut beliau lagi, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. 

Beliau berkata kesemua barang rampasan dan tangkapan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat KPDNHEP Miri untuk siasatan dan tindakan selanjutnya. 
 

  • oleh
  • Advertisement