Anda di sini

Sukan SEA: Atlet bina badan Sarawak sumbang dua pingat

Advertisement
Azri meraikan kemenangannya pada Sukan SEA. -Gambar Bernama
Azri meraikan kemenangannya pada Sukan SEA. -Gambar Bernama

HANOI: Atlet bina badan menyumbang dua pingat iaitu satu perak dan satu gangsa, pada temasya Sukan SEA ke-31 di sini, selepas sembilan tahun sukan itu tidak dipertandingkan.

Azri Asmat Sefri, 29, membuat kejutan dengan meraih perak dalam kategori 55 kilogram (kg) pada hari pertama sukan tersebut di Pusat Latihan dan Pertandingan Sukan Hanoi.

"Ini merupakan pengalaman pertama saya beraksi di kejohanan luar negara, sebelum ini hanya kejohanan domestik sahaja.

“Saya gementar juga kerana pesaing yang berpengalaman, namun tetap berpuas hati dengan keputusan ini," katanya selepas upacara penyampaian pingat.

Wakil tuan rumah Mach Pam Van memenangi emas, manakala Kyaw Min Than dari Myanmar memperoleh gangsa.

Malvern menunjukkan pingat gangsa yang dimenanginya. -Gambar Bernama
Malvern menunjukkan pingat gangsa yang dimenanginya. -Gambar Bernama

Pingat gangsa pula dihadiahkan oleh atlet berpengalaman Malvern Abdullah dalam kategori 65kg.

Vietnam merangkul emas menerusi Tung Dang Thanh, manakala Pongsiri Prommachan dari Thailand membawa pulang perak dalam acara tersebut.

Sementara itu, pengurus pasukan Syed Fairuz Syed Ali mengesahkan sandaran emas negara Syarul Azman Mahen Abdullah telah didapati positif COVID-19 semasa tiba di Hanoi Rabu lepas.

Namun, katanya juara dunia empat kali itu, yang turut dikenali sebagai Mike, telah dibenarkan untuk bertanding pada Ahad lepas, selepas keputusan ujian terakhir COVID-19 beliau didapati negatif.

"Ketika ujian praperlepasan di Kuala Lumpur, (ujian) beliau negatif, tetapi ujian calitan selepas tiba di hotel penginapan di sini positif.

“Beliau tiada apa-apa simptom dan kini telah menamatkan kuarantin untuk meneruskan misi emas," katanya.  

Kali terakhir bina badan dipertandingkan di Sukan SEA ialah pada edisi 2013 di Myanmar apabila Malaysia membawa pulang masing-masing satu emas, perak dan gangsa. - BERNAMA 
 

Advertisement