Anda di sini

Sokongan kepada kepimpinan KOWASA menjadikannya lebih kukuh, berdaya saing

Advertisement
Sharifah Hasidah (tengah) dan ahli lembaga KOWASA memotong pulut kuning sebagai sambutan Mesyuarat Agung Perwakilan Koperasi Wanita Sarawak Bhd (KOWASA) Ke-37, Sambutan Ulang tahun KOWASA Ke-45 dan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri.
Sharifah Hasidah (tengah) dan ahli lembaga KOWASA memotong pulut kuning sebagai sambutan Mesyuarat Agung Perwakilan Koperasi Wanita Sarawak Bhd (KOWASA) Ke-37, Sambutan Ulang tahun KOWASA Ke-45 dan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri.

KUCHING: Sokongan dan dukungan kepada kepimpinan Koperasi Wanita Sarawak Berhad (KOWASA) berupaya menjadikan entiti dagangan itu lebih kukuh dan kekal berdaya saing dalam negara.

Timbalan Menteri Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata demikian kerana melihat kepada prospek KOWASA yang telah tersenarai sebagai koperasi A+ di sini.

"Jangan pandang remeh wanita, wanita makin tua makin hebat. KOWASA mendapat A+ ini merupakan kejayaan yang bukan mudah.

"KOWASA boleh melaksanakan tanggungjawab dengan bergaya sekali dengan nilai dalam akaun berjuta ringgit selain dividen turut diberikan kepada ahlinya," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri yang diadakan di sini hari ini.

Beliau sebelum itu telah merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Koperasi Wanita Sarawak Bhd (KOWASA) Ke-37 dan Sambutan Ulang Tahun KOWASA Ke-45 yang dihadiri sekitar 150 ahli dari Kuching, Sibu dan Miri.

Sharifah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang berkata beliau akan menyokong program, kursus dan aktiviti ilmuan bagi ahli KOWASA di kawasannya itu.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Wanita Sarawak Dato Sri Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi dalam ucapannya juga menyeru agar lebih ramai anak muda menyertai KOWASA dalam pelaburan hartanah.

"Jangan orang fikir golongan wanita tidak pandai bekerja, tidak pandai mengurus hal kewangan dan mereka adalah pemboros dan kuat berbelanja.

"Wanita sebenarnya bijak berbelanja, menabung dan melabur. Ahli-ahli koperasi wanita yang hanya melabur sebanyak RM10 tambah lagi pelaburan anda supaya dividennya lebih banyak daripada 5 peratus untuk tahun akan datang.

"Saya berharap koperasi akan menjadi semakin maju dan jangan takut melabur kerana di dalam penubuhan koperasi ada peguam, setiausaha dan akauntan dan lembaga pengurusan bukan benda main-main," katanya.

Mordiah turut ditemani Timbalan Pengerusi Koperasi Wanita Sarawak Datin Heriah Abdul Manan.
 

  • oleh
  • Advertisement