Anda di sini

Pemandu pacuan empat roda maut dalam kemalangan tiga kenderaan

Advertisement
 Pemandu pacuan empat roda disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dari HQE.
MAUT: Pemandu pacuan empat roda disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dari HQE.

KOTA KINABALU: Seorang pemandu lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan tiga buah kenderaan masing-masing dua kenderaan sedan serta pacuan empat roda di Jalan Kolombong-Lintas berhampiran sebuah stesen minyak di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata empat lagi individu turut mengalami pelbagai kecederaan dalam kejadian jam 1 pagi itu.

“Hasil siasatan mendapati semasa kejadian dua kenderaan sedan dalam perjalanan balik ke rumah masing-masing dari arah Inanam menuju ke Likas dan Penampang menggunakan Jalan Lintas.

“Semasa tiba di lokasi kenderaan pacuan empat roda dinaiki mangsa keluar dari simpang laluan bertentangan secara mengejut menyebabkan salah sebuah kenderaan sedan tidak dapat mengelak sebelum terbabas di bahu jalan.

“Pada masa sama juga sebuah lagi kenderaan sedan yang berada di belakang juga tidak sempat mengelak sebelum merempuh pacuan empat roda itu sehingga berpusing ke lorong kanan,” katanya.

Beliau berkata impak pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak ke parit kecil di bahagian pembahagi jalan.

“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan bertugas.

“Pada masa sama kereta sedan pertama terbakar dan disedari pemandu kenderaan sedan kedua yang sempat menarik keluar pemandu tersepit,” katanya.

Beliau berkata mangsa maut dihantar ke HQE untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua pemandu kenderaan sedan serta dua lagi penumpang lain yang memgalami kecederaan turut dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement