Anda di sini

Pandang serius masalah kemurungan terutama libatkan penjawat awam: CUEPACS

Advertisement
Adnan (duduk tengah) pada sidang media bersama (duduk kiri) Bong, Dr Norliza (duduk kanan), Dr Syed Satahkatulah (berdiri tiga kanan), Sapri (berdiri dua kanan) dan yang lainnya.
Adnan (duduk tengah) pada sidang media bersama (duduk kiri) Bong, Dr Norliza (duduk kanan), Dr Syed Satahkatulah (berdiri tiga kanan), Sapri (berdiri dua kanan) dan yang lainnya.

LIMBANG: Sudah tiba masanya kerajaan melihat secara serius masalah kemurungan atau tekanan jiwa yang banyak dialami penjawat awam di negara ini dengan meletakkannya sebagai satu penyakit dan menubuhkan unit kaunseling dan psikologi di jabatan kerajaan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Adnan Mat berkata kerajaan perlu melihat tekanan dan kemurungan sebagai satu penyakit memandangkan ramai penjawat awam mengalami masalah itu. 

“Masalah ini perlu dilihat secara serius kerajaan dengan menubuhkan unit kaunseling dan psikologi di jabatan masing-masing.

“Kerajaan sudah mewujudkan unit psikologi dan sebagainya tetapi tidak meluas, tidak ada pengkhususan dan sebagainya, ini perlu diambil berat kerajaan dan mengiktiraf kemurungan dan tekanan sebagai penyakit,”katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung dan Pembubaran Ahli Jawatankuasa 2020 hingga 2022 Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sarawak (SMSU) Cawangan Limbang pada Jumaat.

Turut sama ialah Presiden SMSU Bong Kuek Siong, Pegawai Kesihatan Bahagian Dr Norliza Jusoh, Pengarah Hospital Limbang Dr Syed Satahkatulah Mohamed Kalik dan Pengerusi SMSU Cawangan Limbang Sapri Amat.

CUEPACS sebelum ini mendedahkan lebih 400,000 penjawat awam tertekan dengan kerja sehingga mengalami tekanan jiwa bahkan ada yang diberikan kad psikiatri seperti yang dilaporkan pada 2019.

Malah, seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang dilaporkan maut terjatuh dari sebuah pangsapuri dipercayai dikaitkan dengan kemurungan.
 
Menurut Adnan lagi kemurungan dahulu tidak dianggap penyakit.

“Tetapi kemurungan ini adalah satu penyakit yang perlu dipantau dan diletak sebagai penyakit dengan mewujudkan unit psikologi dan pemulihan,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai pendedahan ratusan kakitangan awam terbabit dengan penyalahgunaan dadah sepanjang 2021 hingga mengejutkan banyak pihak, katanya mereka yang terjebak perlu dipulihkan.

“CEUPACS dulu pernah membincangkan tentang penyalahgunaan dadah, CEUPACS bukan bersama dengan kumpulan penyalahgunaan dadah tetapi apabila mereka terjebak perlu pemulihan,” tegasnysa.

Jelas Adnan kebanyakan penjawat awam terjebak dalam penyalahgunaan dadah kerana tertekan serta tekanan kerja melampau.

“Tetapi sebagai satu tanggungjawab sosial kepada kebajikan penjawat awam satu langkah berkesan perlu dilaksanakan dengan memantau seluruh penjawat awam dalam penyalahgunaan dadah,” ujarnya.

Katanya lagi perkhidmatan kesihatan metadon kepada rakyat diberikan apabila mereka terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

“Begitu juga dalam penjawat awam rawatan metadon boleh diberikan dan mereka boleh dipulihkan.

“CEUPACS menegaskan kita tidak bersama dengan mana-mana kumpulan penyalahgunaan dadah, tetapi apabila mereka terjebak langkah pemulihan dari segi proses perubahan  tempat kerja dengan skop kerja yang bersesuaian boleh dilakukan agar mereka dapat dipulihkan,” jelas Adnan.
 

  • oleh
  • Advertisement