Anda di sini

Kota Belud berpotensi jadi destinasi ekopelancongan bertaraf dunia: Salleh

Advertisement
 Salleh semasa merasmikan Pesta Kaamatan peringkat daerah Kota Belud di sini.
RASMI: Salleh semasa merasmikan Pesta Kaamatan peringkat daerah Kota Belud di sini.

KOTA BELUD: Kota Belud yang terkenal sebagai 'daerah koboi timur' (the Cowboy of the East) berpotensi untuk dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan luar bandar bertaraf dunia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata perkara itu dinyatakan berdasarkan kedudukan strategik daerah itu yang terletak di kaki Gunung Kinabalu iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara.

"Saya melihat Kota Belud berpotensi untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan luar bandar bertaraf dunia berasaskan ekopelancongan.

"Kota Belud tidak asing lagi di mata penduduk di Malaysia dan banyak tempat menarik yang popular di daerah ini termasuklah lokasi ekopelancongan, kawasan pantai, tempat berkelah dan rekreasi yang indah dan cantik," katanya.

Salleh berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan peringkat daerah Kota Belud bertemakan "Kaamatan Menjiwai Alam Semula Jadi" di Dewan Masyarakat Tun Said Keruak di sini.

Sesuai dengan tema Kaamatan tahun ini, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah menyeru rakyat terutama para pengusaha pelancongan supaya bersatu tenaga mempromosi pakej pelancongan secara agresif termasuk melaui platfom media sosial, sekaligus membantu memulihkan semula ekonomi rakyat berasaskan pelancongan. 

Katanya Pesta Kaamatan juga berupaya membantu mempromosikan pelancongan di negeri ini melalui pelbagai program yang melibatkan kebudayaan serta tempat menarik di sini.

Menurutnya pesta yang dirayakan setiap tahun itu mampu memperkukuhkan lagi semangat kekitaan dan persaudaraan sesama insan sesuai dengan konsep "Keluarga Malaysia" yang menekan perpaduan pelbagai kaum di negara ini, sekali gus memastikan rakyat sentiasa hidup aman damai dan harmoni.

"Kita juga bersyukur kerana sambutan Pesta Kaamatan kali ini dapat diadakan semula secara fizikal selepas dua tahunm diadakan secara maya atau hybrid susulan penularan virus COVID-19 di negeri ini.

"Meskipun jumlah jangkitan dan kematian global akibat COVID-19 dilaporkan menurun, namun Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) baru-baru ini memberi amaran pandemik masih belum berakhir dan virus COVID -19 masih ada di sekeliling kita.  

"Justeru itu,  saya menyeru agar rakyat khususnya penduduk Kota Belud supaya tidak melihat kelonggaran SOP sebagai lesen besar untuk terlalu bebas sehingga mengabaikan semua SOP yang diamalkan selama ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement