Anda di sini

Kerajaan negeri terima sebarang bentuk cadangan untuk pinda SPA bagi hartanah

Advertisement
 

KUCHING: Kerajaan negeri secara terbuka menerima sebarang bentuk cadangan untuk meminda undang-undang perjanjian jual beli (SPA) bagi hartanah demi memastikan pembeli rumah di Sarawak diberi perlindungan sewajarnya.

Demikian kata Timbalan Menteri Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (gambar) sambil menjelaskan bahawa undang-undang sebenarnya tidak bersifat statik.

"Segala undang-undang di Sarawak yang perlu diperbaiki, diperhalusi dan dikemas kini akan kita lihat dan jika cadangan itu baik, maka kita akan mempertimbangkannya.

"Ideanya adalah, undang-undang tidak statik dan ia boleh berubah mengikut kehendak semasa dan apa yang baik terutama undang-undang yang lama perlu diperbaiki, maka kita akan perbaiki," katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah- Tamah Aidilfitri yang diadakan di sini hari ini.

Ia tegasnya bagi memastikan agar undang-undang itu menjadi undang-undang yang baik mengikut perubahan serta keadaan semasa demi kesejehteraan masyarakat di Sarawak.

Beliau sebelum itu telah merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Koperasi Wanita Sarawak Bhd (KOWASA) Ke-37 dan Sambutan Ulang Tahun KOWASA Ke-45 yang dihadiri sekitar 150 ahli dari Kuching, Sibu dan Miri.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Stampin Chong Chien Jen menyatakan bahawa pembeli rumah projek perumahan Sentoria Borneo Land dipercayai terdedah kepada eksploitasi pemaju.

Jelasnya, undang-undang sedia ada tidak memberi perlindungan mencukupi kepada pembeli rumah di Sarawak daripada eksploitasi pemaju berbanding pembeli rumah di Semenanjung Malaysia.

Projek itu dikelola oleh anak syarikat Sentoria Group Berhad, Sentoria Borneo Land Sdn Bhd telah dilancarkan sekitar awal 2018 di bawah Projek Bandar Peranginan Borneo Samariang di Petra Jaya.

Difahamkan, projek perumahan melibatkan tujuh fasa yang mana syarikat berkenaan hanya berjaya menyiapkan fasa 1 hingga 4.

Sementara fasa 5 hingga ke 7 termasuk Rumah Spektra Medium (RSM) masih terbengkalai sehingga kini.
 

  • oleh
  • Advertisement