Anda di sini

Kelapa, nanas, pisang, durian dan nangka diberi tumpuan sebagai tanaman eksport

Advertisement
Dr Abdul Rahman ditemui media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi di sebuah hotel di Kuching.
Dr Abdul Rahman ditemui media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi di sebuah hotel di Kuching.

KUCHING: Kelapa, nanas, pisang, durian dan nangka akan diberi tumpuan oleh Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak sebagai tanaman yang berpotensi dieksport ke luar negara.

Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, ini kerana hasil tanaman berkenaan mendapat permintaan dan sambutan yang tinggi di luar negara termasuk negara China.

"Pelbagai langkah dan rancangan oleh kementerian dalam usaha memperkasakan pertanian sekali gus menggalakkan tanaman berkenaan di negeri ini.

"Ini kerana produk pertanian merupakan tonggak yang juga diberi tumpuan kerajaan dalam strategi pembangunan pasca-COVID-19," katanya ketika ditemui media semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi di sebuah hotel di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya merancang menambah kawasan bagi tanaman berkenaan selain menjemput syarikat besar yang dapat membantu dari segi pemasaran iaitu syarikat peneraju.

"Bagi petani, kita akan menggalakkan mereka menanam secara berkelompok tanaman yang menjadi tumpuan tersebut. 

"Pada masa ini, kita juga sedang mengenal pasti kawasan di seluruh Sarawak iaitu kawasan yang sesuai untuk tanaman itu supaya ia dapat dijalankan dalam skala yang besar bagi memenuhi permintaan luar negara," katanya.

Jelas Abdul Rahman, bagaimanapun masalah yang dihadapi ialah tidak dapat memenuhi permintaan luar negara dari segi kualiti dan kuantiti walaupun Sarawak mempunyai tanah yang baik. 

"Kalau masa ini petani menanam secara berskala kecil seperti di kawasan Mukah sesuai tanaman kelapa dan limau madu.

"Ini kerana kawasan tersebut landai dan sesuai untuk tanaman seperti itu dan di kawasan pedalaman pula kita boleh tanam durian dan selain Musang King, kita juga boleh mengetengahkan durian tempatan yang tidak kurang sedapnya," ujarnya.
 

  • oleh
  • Advertisement