Anda di sini

Kehadiran Haaland bakal mantapkan jentera serangan Man City: Guardiola

Advertisement
 

WOLVERHAMPTON: Kehadiran Erling Haaland (gambar) ke Manchester City akan menjadikan juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu lebih berbisa di jentera serangan, menurut pengurus City, Pep Guardiola selepas melihat pasukannya membelasah Wolves 5-1 dalam aksi liga pada Rabu.

Pembelian Haaland dengan nilai 51 juta pound kelihatan menamatkan pencarian City untuk seorang penyerang terkenal untuk menggantikan Sergio Aguero yang sudah meninggalkan kelab musim lepas.

Bagaimanapun, City kelihatan tidak memerlukan penyerang sensasi di Molineux ketika pemain tengah, Kevin de Bruyne menjaringkan empat gol termasuk hatrik dalam tempoh 24 minit.

Raheem Sterling melengkapkan jaringan City untuk membolehkan mereka menjaringkan 22 gol pada lima perlawanan liga terakhir.

Guardiola bagaimanapun masih tidak berpuas hati dengan beberapa peluang  yang gagal disempurnakan dan bakal menjadi  penentu dalam saingan  kejuaraan liga.

City memiliki kelebihan tiga mata di singgahsana dan juga kelebihan tujuh gol berbanding pencabar terdekat, Liverpool dengan berbaki dua perlawanan sahaja lagi musim ini.

“Sememangnya dia (Haaland) boleh membantu kami menjaringkan lebih  banyak gol lagi,” kata Guardiola apabila ditanya berapa banyak gol yang dijaringkan pasukannya jika Haaland mengetuai jentera serangan.

“Tahniah kepada kelab. Ia adalah pembelian untuk beberapa tahun akan datang. Kami sangat gembira kerana dia membuat keputusan untuk menyertai kami.

“Musim hadapan, kami akan bekerjasama, kami akan membantunya menyesuaikan diri dengan cepat di Manchester. Saya pasti dia akan menyesuaikan diri dengan cara kami bermain.” — AFP
 

Advertisement