Anda di sini

JKM, NGO hantar bekalan air kepada penduduk Dalat

Advertisement
Fatimah (dua kanan) ketika melawat kolam takungan Sungai Ud.
Fatimah (dua kanan) ketika melawat kolam takungan Sungai Ud.

MUKAH: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama badan bukan kerajaan (NGO), 38 Yayasan Pencinta Amal menghulurkan bantuan 9,600 kotak air minuman kepada kira-kira 900 buah rumah di Dalat.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, ia susulan krisis bekalan air melanda daerah itu ekoran beberapa isu berkaitan.

"Sejak 13 Januari hingga 8 Mei 2022, Dalat telah mengalami 22 kali gangguan bekalan air," katanya kepada Utusan Borneo pada Jumaat.

Antara faktor dikenal pasti adalah masalah pam air di kawasan pengambilan air mentah di Sungai (Sg)  Lebrasau, paras takungan air di Sg Ud yang rendah dan juga masalah pam air di tangki air paras tinggi di Tegup.

Menurutnya, setelah melakukan perbincangan dengan pelbagai pihak, terdapat beberapa cadangan penyelesaian krisis bekalan air tersebut yang dibahagikan kepada jangka pendek dan panjang.

Bagi penyelesaian jangka pendek, Fatimah berkata dua pam air di Sg Lebrasau akan digunakan bagi memenuhi kolam takungan air di Sg Ud sehingga ia melepasi paras kritikal.

Tambahnya, bagi memenuhi tangki air aras tinggi di Tegup pula, saluran bekalan air ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalat akan dikurangkan ketika cuti hujung minggu dan juga pada cuti persekolahan.

Keadaan itu jelasnya akan memastikan bekalan air mencukupi dan tekanannya tinggi untuk dipam ke Tegup iaitu penyaluran air dari paip sebelum ke Tegup mesti dikurangkan.

"Seterusnya adalah dengan mendapat sumber bekalan terawat bukan dari Dalat tetapi dari Mukah melalui saluran paip Mukah-Oya," ujarnya.

Bagi jangka masa panjang, Fatimah turut mempunyai beberapa cadangan iaitu menukar lokasi pengambilan air mentah di Sg Lebrasau 100 hingga 150 meter ke hulu.

Tegas beliau, ia bagi mengelakkan air paya turut disedut masuk ke dalam pam.

Katanya lagi, pontun juga dicadang digunakan untuk memastikan jangka hayat pam dapat dipanjangkan seperti di bekalan air mentah Sg Kut.

Sementara itu, beliau memberitahu kapasiti takungan air mentah di Sg Ud juga harus ditingkat dengan melebar dan mendalam sungai tersebut termasuk memasang geotextile di tepi kolam.

"Untuk tangki air di Tegup, ia turut memerlukan saluran sendiri daripada paip Mukah-Oya.

"Terakhir, cadangan penggunaan semula tangki simpanan air bawah tanah di Oya yang perlu direhabilitasi.

"Ia khusus untuk kegunaan masa-masa kecemasan seperti itu," katanya.

Selain itu, Fatimah berkata untuk kawasan kritikal dalam tempoh interim bekalan air dipulihkan, beberapa kawasaan telah dikenal pasti.

Jelasnya, antaranya Kampung (Kg) Medong Hilir, Medong Hulu, Medong Seberang, Kekan Seberang dan Tanam Seberang.

"Setiap rumah telah dibekalkan dengan empat kotak air botol di mana setiap kotak mengandungi 12 botol 1.5 liter (L) atau 1.8 L air bersih," tambahnya.

Fatimah pada Jumaat telah mengadakan lawatan ke kawasan pengambilan air mentah Sg Lebrasau dan juga kolam takungan air Sg Ud.

Ia merupakan susulan daripada lawatan pertama pada 10 Mei 2022 bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.
 

  • oleh
  • Advertisement