Anda di sini

Henry sokong cadangan syarikat ladang sawit harus miliki pengangkutan sungai sendiri

Advertisement
Henry ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, di sebuah hotel di sini.
Henry ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, di sebuah hotel di sini.

KUCHING: Timbalan Menteri Pengangkutan ll Sarawak, Dato Henry Harry Jinep menyokong cadangan supaya syarikat ladang kelapa sawit harus mempunyai pengangkutan logistik sendiri ketika menggunakan laluan sungai. 

Menurutnya, seperti di Pulau Bruit, pengusaha syarikat sawit di kawasan berkenaan menggunakan feri sendiri bagi menjamin keselamatan awam. 

"Kita seharusnya menitikberatkan dari segi keselamatan dan sekiranya lori-lori (sawit) berat lalu menggunakan feri yang disediakan sekali gus membahayakan pengguna," katanya semasa ditemui media ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, di sebuah hotel di sini hari ini. 

Justeru, katanya beliau menyokong suara rakannya iaitu Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman Sarawak, Datuk Juanda Jaya supaya pengusaha sawit perlu mempunyai feri sendiri. 

Katanya, ini terutamanya ketika menyusuri sungai bersama orang awam di mana mereka perlu mempunyai feri mereka sendiri bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

"Perkhidmatan feri ini di bawah Kementerian Pengangkutan dan keselamatan pengguna juga adalah di bawah kementerian yang sama, jadi saya sokong supaya pengusaha ladang kelapa sawit mempunyai feri sendiri," jelasnya.

Mengulas lanjut, cadangan supaya ladang kelapa sawit ini terpulang kepada pihak atasan kementerian dan ia harus ada perbincangan bersama pengusaha ladang.

Terdahulu, Juanda mencadangkan supaya pemilik syarikat bersenarai awam yang menjalankan perusahaan sawit perlu menyediakan feri sendiri bagi mengelak pengguna feri khasnya di Matu dan Igan terpaksa menunggu lama selain menimbulkan perkara tidak diingin berlaku.
 

  • oleh
  • Advertisement