Anda di sini

Golongan berisiko digesa dapatkan dos penggalak kedua

Advertisement
Dr Sim (tiga kiri) sambil disaksikan tetamu memotong kek sambutan Pra-Gawai Dayak anjuran Unit Bumiputera SUPP Cawangan Dudong di Sibu hari ini.
Dr Sim (tiga kiri) sambil disaksikan tetamu memotong kek sambutan Pra-Gawai Dayak anjuran Unit Bumiputera SUPP Cawangan Dudong di Sibu hari ini.

SIBU: Golongan berisiko digesa mendapatkan suntikan dos penggalak kedua menjelang sambutan Hari Gawai Dayak.

Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata ini bagi melindungi golongan terbabit pada musim perayaan ini.

"Kita berharap golongan berisiko dapat memberi kerjasama seperti vaksinasi dijalankan sebelum ini.

"Sarawak adalah negeri terbaik di Malaysia apabila kadar vaksinasi adalah tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia," katanya.

Dr Sim berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Makan Tengah Hari Pra-Gawai Dayak 2022 anjuran Unit Bumiputera Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng, ADUN Tanjong Batu Johnny Pang, Setiausaha Politik Premier Sarawak Daniel Bujal, Temenggung Stanley Gramong, Penasihat Kehormat SUPP Cawangan Dudong Datuk Dr Soon Choon Teck, Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Wong Ching Yong dan Ketua Unit Bumiputera SUPP Cawangan Dudong Penghulu Paing Tawi serta tetamu lain.

Dr Sim berkata, dengan kadar vaksinasi tertinggi itu telah membuatkan nama Sarawak melonjak hasil daripada kerjasama padu kalangan rakyat.

Presiden SUPP itu memberitahu, disebabkan kadar vaksinasi tinggi itu membolehkan kerajaan melonggarkan sekatan seterusnya membolehkan rakyat dapat meraikan sesuatu perayaan.

"Disebabkan vaksinasi tinggi itu, kita boleh kembali bersua muka dengan keadaan selamat dan dapat meraikan sambutan Hari Gawai Dayak tidak lama lagi.

"Ini semua adalah hasil sokongan semua rakyat Sarawak menyokong program vaksinasi yang kita jalankan selama ini," jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Sim turut merakamkan penghargaan kepada ahli SUPP di sini yang masih setia bersama parti.

Jelasnya, pada pilihan raya lalu ia terbukti ahli-ahli parti bekerja keras dan hasilnya Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencapai kemenangan besar.

"Begitu juga di Sibu, GPS SUPP memenangi kerusi DUN Bukit Assek dan Pelawan. Semua ini adalah usaha keras ahli parti dan keyakinan rakyat terhadap kita," katanya.

Justeru, Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menyeru rakyat terus menyokong parti tempatan bagi mendengar suara rakyat tempatan berbanding parti dari Semenanjung Malaysia yang sering menghadapi pelbagai konflik.
 

  • oleh
  • Advertisement