Anda di sini

Dua warga Indonesia miliki dokumen diri tamat tempoh ditahan

Advertisement
 Bot nelayan tempatan ditahan selepas didapati dikendalikan oleh kru yang memiliki dokumen diri tamat tempoh.
TAHAN: Bot nelayan tempatan ditahan selepas didapati dikendalikan oleh kru yang memiliki dokumen diri tamat tempoh.

LABUAN: Dua lelaki warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan selepas  memiliki dokumen pengenalan diri tamat tempoh dalam satu serbuan di sini semalam. 

Pengarah Zon Maritim Labuan Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata tangkapan dilakukan selepas pihaknya menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan kedua-dua suspek.

“Semasa menjalankan rondaan rutin Op Benteng dan Op Khas Pagar Laut, pasukan operasi mengesan sebuah bot nelayan tempatan yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di kedudukan 22 batu nautika dari Pulau Labuan.

“Sebaik diperiksa, bot nelayan terbabit dikendalikan oleh empat orang kru warga Indonesia yang berumur dalam lingkungan 22 hingga 37 tahun. 

“Hasil pemeriksaan mendapati dua daripada kru itu memiliki dokumen pengenalan diri yang sudah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata kesemua kru bersama nakhoda kapal dan bot nelayan ditahan bagi membantu siasatan. 

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM10 ribu atau penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan.

“Perbuatan tinggal di Malaysia tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan jenayah dan komuniti maritim dinasihatkan agar sentiasa menghormati serta mematuhi undang-undang yang termaktub didalam perlembagaan bagi mengelakkan diri daripada terbabit dengan sebarang salah laku di perairan negara,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai agar melaporkan sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau melalui talian kecemasan MERS 999.

  • oleh
  • Advertisement