Anda di sini

Christina sokong cadangan kerajaan negeri wujud Pusat Panggilan Kecemasan

Advertisement
CHRISTINA
CHRISTINA

KOTA KINABALU: Mantan Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew mengalu-alukan pengumuman kerajaan negeri yang akan mempertimbang mewujudkan Pusat Panggilan Kecemasan sendiri untuk memberikan perkhidmatan ambulans percuma 24 jam kepada rakyat.

Katanya, tindakan berkenaan adalah satu langkah positif demi mengelakkan daripada sebarang kelewatan menyelamat nyawa dengan menyediakan perkhidmatan ambulans ketika waktu kecemasan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tawau berkata, panggilan kecemasan adalah berkaitan nyawa dan kematian seseorang.

"Saya sokong tindakan positif oleh kerajaan negeri tanpa perlu menunggu jawapan daripada kerajaan Pusat mengenai perkara ini. 

"Sebarang kelewatan adalah tidak wajar kerana kerajaan persekutuan seharusnya memenuhi keperluan asas rakyat Sabah," katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api itu juga menjelaskan kerajaan persekutuan juga perlu menyediakan peruntukan secukupnya untuk mendapatkan perkhidmatan ambulans kecemasan kepada Pusat Panggilan Kecemasan ini nanti.

Menurutnya, satu tindakan perlu dilaksanakan secara lancar ketika menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

"Ia perlulah lebih mudah untuk berkomunikasi dan Pusat ini perlu diurus oleh kakitangan yang mahir dalam semua bahasa tempatan.

"Ambulans berkenaan haruslah lengkap dari pelbagai segi kemudahan kecemasan dan dioperasikan pegawai perubatan bertauliah," katanya.

Katanya, pernah terjadi kes ambulans hospital kerajaan sebelum ini yang kehabisan petrol ketika menghantar pesakit kritikal ke pusat bandar.

Menurutnya, jangan biarkan sejarah berkenaan berulang kerana ia mampu meragut nyawa pesakit khususnya mereka yang dari kawasan pedalaman.
 

  • oleh
  • Advertisement