Anda di sini

Abdullah: Kerja kebajikan sukarelawan MUSC diberi penghargaan

Advertisement

KUCHING: Semangat kerjasama dan keprihatinan sukarelawan Kelab Penyokong Manchester United Sarawak (MUSC) dipuji kerana turut terlibat dalam beberapa program penghantaran bantuan makanan kepada keluarga-keluarga terkesan akibat wabak COVID-19 dalam tempoh tahun lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol yang menghargai sumbangan mereka berkata, walaupun MUSC terdiri dari peminat sukan bola sepak berbagai latarbelakang dan kaum, tetapi ramai yang turut berminat terlibat dalam kerja-kerja amal termasuk mengedar makanan semasa Ramadan baru-baru ini.

“Semangat kesukanan serta jiwa keprihatinan ini akan terus dikukuhkan dalam kalangan ahli supaya kita menjadi masyarakat yang akrab dan bertanggungjawab. Sentimen begini penting untuk mengekalkan perpaduan dalam masyarakat Sarawak berbilang kaum,” katanya berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran MUSC di sini pada Jumaat malam.

Beliau yang juga Penasihat MUSC turut meminta ahli-ahli supaya turut memberi sokongan kepada pasukan bola sepak tempatan yang mewakili Sarawak.

Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri Opar Billy Sujang dan ahli-ahli kelab dari daerah-daerah berdekatan seperti Serian, Bau dan Padawan.

Abdullah, Dzulkarnaen dan Billy bersama-sama ahli-ahli MUSC pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri pada Jumaat malam.
Abdullah, Dzulkarnaen dan Billy bersama-sama ahli-ahli MUSC pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri pada Jumaat malam.

Presiden MUSC Datuk Dzulkarnaen Ahmad dalam ucapan aluannya berkata, kelab yang ditubuhkan pada 2019 ini mempunyai keahlian 300 orang.

“MUSC berupaya menjadi platform terbaik dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat tanpa mengira latarbelakang ahli-ahlinya,” katanya.

Dzulkarnaen turut mengumumkan hadiah penghargaan kepada tiga ahli kelab paling aktif berupa pakej untuk menyaksi perlawanan pasukan Manchester United pada musim baru. Pakej tersebut merangkumi tiket penerbangan, penginapan dan tiket perlawanan.

Advertisement