Anda di sini

10 lelaki merusuh dengan senjata di Lawas ditahan

Advertisement
 

LAWAS: Polis Lawas menahan 10 lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kejadian merusuh dengan senjata melibatkan dua kumpulan di bawah bangunan sebuah kafe dan bistro di sini pada 8 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Sila Kadong (gambar) berkata semua lelaki berusia 18 hingga 36 tahun itu ditahan di lokasi berasingan dan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis dibuat mangsa lelaki yang mengalami kecederaan di muka dan badan dalam kejadian  berpunca daripada perselisihan faham.

“Siasatan dilengkapkan dan seramai lima daripada tangkapan itu dituduh di Mahkamah Majistret Lawas di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kejadian merusuh itu menjadi tular selepas dimuat naik ke media sosial dan mendapat perhatian masyarakat.

Sila turut mengingatkan orang ramai agar mematuhi undang-undang bagi mengelak kejadian sama berlaku pada masa depan.

Beliau turut meminta agar penyebaran video dan gambar kejadian melalui media sosial dihentikan serta-merta.

“Saya mengingatkan pengguna media sosial agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh membangkitkan provokasi kepada mana-mana pihak.

“Polis Lawas tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang demi mengekalkan ketenteraman awam dan keamanan masyarakat di daerah ini,” jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement