Anda di sini

Saya dilantik oleh BOD 1MDB, bukan Jho Low

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semalam memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa pelantikannya dalam 1MDB dibuat atas kelulusan lembaga pengarah (BOD) dan bukan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taik Jho atau Jho Low.

Lim Poh Seng, 51, berkata pelantikannya bukan dibuat oleh mana-mana individu tetapi secara kolektif oleh BOD.

Saksi pendakwaan ke-18 itu bagaimanapun berkata beliau mengenali Jho Low sebelum menyertai dana kekayaan negara itu.

“Jho Low telah menghubungi saya untuk menawarkan beberapa kerja perkhidmatan korporat kepada beberapa syarikat yang disyorkannya, namun saya tidak ingat tahun bila. Saya juga tidak ingat apa syarikat yang dia cadangkan itu,” kata saksi berkenaan.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu atas dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB. 

Wan Aizuddin: Tetapi anda boleh ingat, Jho Low menghubungi anda dan dia mengesyorkan anda untuk menawarkan perkhidmatan kepada beberapa syarikat?

Lim: Ya.

Wan Aizuddin: Adakah ini penglibatan Jho Low sebelum atau selepas perkhidmatan anda dengan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA)?

Lim: Ia adalah sebelum TIA (TIA kemudian dinamakan semula sebagai 1MDB).

Terdahulu ketika membacakan penyataan saksinya, Lim berkata beliau menghadiri beberapa Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Penyelarasan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIASCC) sebagai perakam minit mesyuarat atas permintaan Jho Low.

“Jho Low mengatur dan mengendalikan mesyuarat TIASCC yang saya hadiri,” katanya.

Wan Aizuddin kemudian bertanya kepada saksi sama ada Jho Low adalah orang yang menawarkannya untuk menjadi setiausaha syarikat selepas mesyuarat TIASCC, yang dijawab oleh Lim: “Tidak”.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Selasa. - BERNAMA
 

Advertisement