Anda di sini

Produk PKS Sabah ke UK, EU

Advertisement
 Usahawan Sabah bergambar dengan Dr Abdul Latiff selepas mengadakan lawatan ke pasaraya Wing Yip di Croydon, satu jam perjalanan dari Kota London. Turut bersama Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar  Khan Bahadar
ALBUM: Usahawan Sabah bergambar dengan Dr Abdul Latiff selepas mengadakan lawatan ke pasaraya Wing Yip di Croydon, satu jam perjalanan dari Kota London. Turut bersama Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar
Dr Latiff (tengah) bersama Ghulam (dua kanan) dan Nizam (lima kanan) menyaksikan majlis menandatangani MoU itu.
Dr Latiff (tengah) bersama Ghulam (dua kanan) dan Nizam (lima kanan) menyaksikan majlis menandatangani MoU itu.

LONDON: Pusat Sehenti Usahawan Global (GLOPEC) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mewujudkan kerjasama dengan beberapa rakan strategik dari United Kingdom (UK) dan pasaran Eropah lain, dalam usaha mendorong peluang eksport baharu produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di pasaran antarabangsa.

Pemeteraian MoU antara GLOPEC dan sembilan pihak yang melibatkan pengusaha restoran, pemborong, pengedar dan peruncit dalam talian di sini, pada Khamis adalah bertujuan memasarkan produk buatan Sabah ke UK, Perancis dan negara Eropah lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad yang mengetuai Misi Promosi dan Jualan Produk Bumiputera Sabah ke UK dari 9-16 Mei, menyaksikan majlis pemeteraian MoU tersebut oleh Pengurus Besar Kristal Handal Sdn Bhd Zaiton Bakri yang mewakili syarikat itu.

Kristal Handal adalah anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah yang menyelia GLOPEC.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di UK Zakri Jaafar dan Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) Datuk Seri Ghulam Haidar @ Yusof Khan Bahadar, Pengarah GLOPEC Azmi Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Md Silmi Abdul Rahman.

MoU itu ditandatangani dengan Jimmy Chong Ghee Chua yang mewakili Chuang Lee Supermarket; Pui Chin Yap @ Sarah Yap (Makan House Limited @ Uncle Lim Kitchen; Wan Joha Wan Ahmad (Malaysian Supermarket Ltd); Simon K. Suresh (Oh Malaysia/Halal Street UK Limited); Yoke Ng (Yi International); Datuk Uthama Kumara Naidu Sanjay (Aditya & Co);  Swee Leong Goh (Nepcoe Capital Partners); Ku Farid Ku Yasin (KMF MalaysiaWe); dan Paul Fritz mewakili Premium Company Farm Food Limited.

GLOPEC yang dibiayai oleh program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) dan diwujudkan melalui kerjasama strategik di antara Kumpulan Yayasan Sabah dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 2020, adalah antara program kerjasama untuk membantu usahawan Sabah, terutamanya daripada kumpulan B40 dan M40 melalui pemasaran produk tempatan ke pasaran antarabangsa.

GLOPEC berperanan sebagai pihak hubungan yang terlibat dengan semua agensi berkaitan perniagaan dan badan pentadbiran di pasaran sasaran, serta pembekal dan pembeli untuk menyebarkan maklumat yang ditentusahkan dan peluang perniagaan berkaitan PKS Sabah yang terlibat.

Ia turut menawarkan kursus latihan kepada PKS untuk memberikan pandangan dalam aspek iklim perniagaan global, kempen pemasaran, promosi dan publisiti dan penyertaan dalam pameran promosi.

Bercakap kepada media Malaysia di sini, Dr Abdul Latiff berkata kerajaan komited untuk menyokong pemulihan perniagaan selepas gangguan ekonomi global akibat pandemik COVID-19.

"Melalui MoU berkenaan, kementerian akan bekerjasama dengan TERAJU untuk memudahkan dan membantu GLOPEC meneruskan usaha pemasaran dan perdagangan dan meraih peluang perniagaan antarabangsa memandangkan sekatan perjalanan telah ditarik balik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata peruncitan adalah sektor ekonomi yang mempunyai potensi besar melalui produk makanan yang boleh ditonjolkan dan dipromosikan melalui rangkaian pengendali restoran, terutamanya yang dimiliki rakyat Malaysia di luar negara untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Sebagai permulaan, beliau berkata TERAJU boleh memulakan inisiatif tersebut dengan membeli produk pengusaha barangan makanan dalam industri kecil dan sederhana, serta produk berasaskan komuniti dan menjalankan pemasaran melalui kerjasama strategik dengan pengendali restoran, pemborong dan peruncit, selain mematuhi standard pematuhan produk makanan di UK dan Kesatuan Eropah (EU).

Sementara itu, Zaiton berkata program GLOPEC akan menjadi platform kepada usahawan PKS Sabah untuk memasarkan produk negeri itu seperti kentang goreng, sos cili, sambal bilis dan kraftangan etnik seperti ‘Batik Bayu' dan rotan ke pasaran antarabangsa, terutamanya ke UK, negara-negara Eropah, China, Thailand dan negara-negara Timur Tengah.

Beliau berkata, selain mematuhi Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) dan peraturan dan pensijilan halal, operator produk di Sabah akan bekerjasama dengan pemborong dan peruncit, dan rakan perniagaan strategik di luar negara.

Setakat ini, GLOPEC mempunyai 15 usahawan dan menyasarkan untuk memasarkan produk bernilai RM60 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pada majlis menandatangani MoU itu, Dr Abdul Latiff turut melancarkan kempen "Taste of Sabah" yang menyaksikan produk-produk PKS Sabah ditempatkan di restoran terkemuka di London.- BERNAMA.

Advertisement