Anda di sini

Pernyataan palsu: Serba Dinamik, pengarah, pegawai kanan bebas, bayar kompaun RM15 juta 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas bersepadu Serba Dinamik Holdings Berhad, dua pengarah dan dua pegawai kanannya dilepas dan dibebaskan oleh empat Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

Mereka terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO Kumpulan) Serba Dinamik Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Azhan Azmi, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Datuk Syed Nazim Syed Faisal dan Timbalan Presiden Akaun dan Kewangan Muhammad Hafiz Othman.

Hakim Mahkamah Sesyen Kamarudin Kamsun, Ahmad Kamar Jamaluddin, Emelia Kaswati Mohamad Khalid dan Datin Sabariah Othman memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa syarikat dan empat individu itu telah menjelaskan kompaun berjumlah RM15 juta pada 9 Mei lepas.

Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan dan pasport dikembalikan kepada empat individu terbabit.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti (SC) Hashley Tajudin, Zul’aida Zulkifli dan Izzat Fauzan serta Pegawai Pendakwa SC Mohd Izuddin Mohamed.

Terdahulu, Hashley memaklumkan kepada mahkamah bahawa Serba Dinamik dan empat individu itu telah menjelaskan kompaun yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Berikutan pembayaran kompaun itu, pihak pendakwaan memohon pertuduhan terhadap mereka ditarik balik di bawah Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah setelah pihak pendakwaan tiada niat untuk meneruskan kes ini, maka kami mencadangkan mereka dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Turut hadir pada prosiding itu, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Azhan, peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed mewakili Serba Dinamik dan peguam Farhan Read mewakili Muhammad Hafiz.

Pada 11 April lepas, Hashley memberitahu mahkamah bahawa Serba Dinamik dan empat individu itu telah menyerahkan representasi kepada AGC pada 17 Mac lepas dan diterima pada 7 April dengan syarat beberapa perkara yang perlu dilaksanakan. 

Serba Dinamik, Mohd Abdul Karim, Azhan dan Syed Nazim dan Muhammad Hafiz masing-masing telah menjelaskan kompaun sebanyak RM3 juta. 

Serba Dinamik, Mohd Abdul Karim yang juga Pengarah Urusan Serba Dinamik, Syed Nazim, Azhan Azmi dan Muhammad Hafiz, masing-masing didakwa dengan niat menipu telah mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia berhubung hal ehwal Serba Dinamik yang terkandung dalam laporan suku tahunan syarikat bagi suku kewangan berakhir 31 Dis 2020.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Bursa Malaysia Securities Berhad, Bukit Kewangan, di sini pada 26 Feb lepas mengikut Seksyen 369(a)(B) dibaca bersama Seksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 369 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta.

Muhammad Hafiz turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas pertuduhan memalsukan rekod perakaunan Serba Dinamik dan kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 19 Mei ini.

Mahkamah memerintahkan Mohd Abdul Karim dijamin RM500,000 manakala tiga yang lain masing-masing sebanyak RM300,000. - BERNAMA
 

Advertisement