Anda di sini

Op Selamat 18: Kes kemalangan meningkat satu peratus

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kes kemalangan yang direkodkan sepanjang Op Selamat 18 mencatatkan peningkatan hanya satu peratus atau 111 kes berbanding operasi sama pada 2019, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata sepanjang operasi bermula 29 April hingga 8 Mei lepas, sebanyak 15,947 kes kemalangan dilaporkan berbanding 15,836 kes dalam Op Selamat 15 pada 2019. 

Bagi kemalangan maut pula, Acryl Sani berkata sebanyak 160 kes direkodkan iaitu peningkatan tujuh peratus berbanding 150 kes sebelumnya.

"Jumlah kematian turut merekodkan peningkatan empat peratus iaitu 166 kes berbanding 160 kes semasa Op Selamat 15.

"Penunggang dan pembonceng motosikal kekal mencatatkan kematian tertinggi iaitu 108 kematian atau 65 peratus daripada keseluruhan kes kematian Op Selamat 18,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai jumlah saman, Acryl Sani berkata operasi kali ini merekodkan peningkatan mendadak sebanyak 51 peratus iaitu 338,296 saman berbanding 223,449 pada Op Selamat 15.

Bagi kes tangkapan pula, sebanyak 496 tangkapan dilakukan secara keseluruhan melibatkan antaranya 330 kes berkaitan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala lain-lain membabitkan Akta 574 Kanun Keseksaan, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Imigresen 1959/63, Akta Racun 1952 serta Akta Kastam 1967.

"Keprihatinan pengguna jalan raya menyalurkan maklumat mengenai tingkah laku pengguna kenderaan yang melanggar peraturan dan undang-undang agar tindakan dapat diambil amat dihargai dan dipuji.

"Melalui Op Selamat 18 juga, semangat Keluarga Malaysia dapat dilihat apabila semua pihak terutamanya pengguna jalan raya bertoleransi dan berhemah bagi memastikan sambutan Aidilfitri dapat dirai dengan penuh kemeriahan, kegembiraan, selamat dan harmoni,” katanya.

Sementara itu, Acryl Sani berkata kes pecah rumah merekodkan penurunan iaitu 313 pada Op Selamat 18 berbanding 545 kes pada Op Selamat 15. - BERNAMA

Advertisement