Anda di sini

Mangsa kondo runtuh di Florida terima ganti rugi AS$997 juta

Advertisement
Gambar fail diambil pada 27 Jun, 2021 menunjukkan seorang lelaki dan seorang wanita  memberi penghormatan di tapak memorial sementara untuk mangsa bangunan kondominium yang runtuh di Surfside, Florida. — Gambar AFP
Gambar fail diambil pada 27 Jun, 2021 menunjukkan seorang lelaki dan seorang wanita memberi penghormatan di tapak memorial sementara untuk mangsa bangunan kondominium yang runtuh di Surfside, Florida. — Gambar AFP

MIAMI: Mangsa terselamat dan keluarga kepada orang yang terkorban dalam kejadian sebuah bangunan kondominium tepi pantai yang runtuh pada tahun lepas berhampiran Miami telah mencapai ganti rugi berjumlah sekurang-kurangnya AS$997 juta, kata peguam untuk plaintif kelmarin.

“Ganti rugi sekarang adalah AS$997 juta. Terdapat kira-kira ratusan juta dolar lagi yang akan diperolehi untuk para mangsa,” menurut peguam Carlos Silva.

Sebahagian daripada Champlain Towers South, sebuah bangunan 12 tingkat dibina pada 1981 di Surfside, sebuah pekan di utara Miami Beach, telah runtuh pada 24 Jun, 2021 ketika penghuninya sedang nyenyak tidur di dalamnya.

Selain daripada seorang remaja yang diselamatkan beberapa jam selepas menara itu runtuh, kru pencari tidak menemui mangsa yang masih hidup dalam runtuhan dan kemudian menumpukan untuk mencari mayat manusia.

Seramai 98 orang terkorban dalam kejadian runtuhan itu, dengan mayat terakhir dikenal pasti hampir sebulan kemudian.

Satu laporan akhir mengenai punca keruntuhan masih belum dikeluarkan, walaupun penemuan awal menunjukkan sebahagian daripada struktur bangunan kelihatan teruk.

Ganti rugi, diumumkan kelmarin di mahkamah Miami-Dade County, menyelesaikan satu tuntutan saman tindakan kelas terhadap beberapa defendan, termasuk pemaju sebuah bangunan berhampiran Champlain Towers South.

Saman tersebut mendakwa gegaran dari kerja-kerja di kawasan berhampiran telah menyumbang kepada keruntuhan kondominium tersebut.

Harley Tropin, peguam plaintif yang mengemukakan perjanjian ganti rugi di mahkamah, memujinya sebagai membawa sedikit kelegaan untuk mangsa yang masih hidup dan juga keluarga kepada mangsa yang terkorban.

“Walaupun tiada jumlah wang yang akan pernah cukup untuk menggantikan mereka, kami berharap penutupan bagi prosedur perundangan untuk bencana ini akan memberikan kepada mangsa sedikit langkah untuk ketenangan jiwa,” menurut Tropin.

Hakim Florida yang mengendalikan kes ini, Michael Hanzman, telah meluluskan ganti rugi berjumlah AS$83 juta pada Mac lepas, namun hanya memberikan pampasan kepada pemilik kondo dalam bangunan itu dan bukan keluarga mangsa yang terkorban. — AFP
 

Advertisement