Anda di sini

Dipenjara akibat curi bungkusan kurier

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah mencuri tiga bungkusan produk ubat-ubatan milik sebuah syarikat kurier di Jalan Sekama di sini, minggu lalu.

Tertuduh, Mohammad Syukor Tuan, 29, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. 

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki dari Kampung Tabuan Hilir itu bersama seorang lagi lelaki yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan tersebut sekitar jam 4.30 petang pada 9 Mei lalu, di luar premis pusat kurier berkenaan.

Mengikut keterangan kes, pekerja pusat kurier terbabit (pengadu) bersama rakannya sedang memunggah barang kiriman berisi ubat-ubatan untuk dimasukkan ke dalam van sebelum dihantar ke lokasi ditetapkan ketika kejadian berlaku.

Semasa proses pemunggahan barangan tersebut dilakukan, pengadu didatangi sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki bersama tertuduh dan mereka tiba-tiba bertindak mengambil serta membawa lari tiga daripada bungkusan berkenaan. 

Pengadu bersama rakan sekerjanya kemudiannya mengejar kedua-dua lelaki itu dan berjaya menangkap tertuduh, manakala rakan tertuduh berjaya melarikan diri.

Tertuduh seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Majistret Zubaidah Sharkawi memerintahkan hukuman penjara bagi tertuduh untuk dikuat kuasakan mulai hari ini. 

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement