Anda di sini

Wanita Indonesia didenda kerana terlibat pelacuran 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang wanita warga Indonesia dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjalankan aktiviti pelacuran, Mac lalu.

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Yunarni Oyong, 25, sejurus dia membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di dalam bilik nombor dua di sebuah premis di Jalan Ang Cheng Ho di sini, kira-kira jam 2.15 petang, pada 3 Mac lalu.

Berdasarkan keterangan kes, tertuduh ditangkap oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Kuching yang melakukan Ops Noda pada hari kejadian. 

Pemeriksaan di bilik mendapati terdapat satu kondom telah digunakan dan diletakkan di atas sebuah kerusi plastik dalam bilik tersebut. 

Selain itu, tertuduh turut menyerahkan wang tunai berjumlah RM200 yang diletakkan di poket belakang seluar kepada pihak polis. 

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang lelaki Indonesia didenda RM10,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar setelah mengaku bersalah terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian.

Riko Sanjaya, 24, didakwa mengendalikan mesin perjudian dalam talian iaitu sebuah telefon bimbit pada 26 Februari lalu, sekitar jam 11.50 malam di sebuah pondok terletak di tepi jalan Tan Sri Abang Ikhwan Kampung Semerah Padi Baru di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM100,000 bagi setiap mesin judi dan hukuman penjara maksimum lima tahun.

Selain telefon bimbit, antara yang dirampas dan dijadikan bahan kes adalah wang tunai berjumlah RM90.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin. 
 

  • oleh
  • Advertisement