Anda di sini

PBB institusi tunaikan harapan rakyat: Awang Tengah

Advertisement
Awang Tengah bersama pemimpin PBB dan ahli PBB Lambir melaungkan 'Hidup PBB' selepas majlis perasmian TGM PBB Lambir hari ini.
Awang Tengah bersama pemimpin PBB dan ahli PBB Lambir melaungkan 'Hidup PBB' selepas majlis perasmian TGM PBB Lambir hari ini.

MIRI: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dilihat sebagai institusi untuk menunaikan harapan rakyat setelah diberi kepercayaan besar sebagai parti tulang belakang memimpin negeri ini.
 
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, PBB menjadi pelantar perjuangan hak dan kepentingan Bumiputera dan dijadikan sebagai payung pelindung tugas itu. 

Justeru, PBB dan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) harus memastikan mandat dan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu menjadi fokus utama mereka. 

"PBB bukan parti untuk pilihan raya. Kewujudan PBB adalah untuk melaksanakan harapan rakyat.

"Kita jaga kepentingan mereka bukan hanya masa pilihan raya. 

“PBB dilihat sebagai institusi untuk rakyat, jaga harapan, agar kepentingan mereka dapat dijaga," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tiga Tahun Sekali (TGM) Badan Induk, Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda PBB N.72 Lambir untuk sesi 2022-2025 di sini hari ini.
 
Sehubungan itu, beliau yang juga timbalan presiden PBB mahu semua ahli terus mengukuhkan perpaduan dan kerjasama demi kekuatan parti. 

"Kalau kita tidak bersatu dan parti tidak kuat, kerajaan pimpinan kita tidak kuat, kita akan terperangkap," tegasnya.

Menurut Tengah, PBB terus bertahan sehingga kini sebagai parti tulang belakang kerana kesetiaan dan disiplin ahli yang tidak pernah luntur. 

Faktor lain adalah kerana semangat perpaduan dan persefahaman antara ahli dan rasa hormat yang tinggi kepada kepimpinan parti. 

Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU), parti akan menampilkan muka baharu termasuk kalangan belia dan wanita. 

Ahli daripada pelbagai kaum diberi peluang bertanding mewakili kawasan dan kaum mereka. 

"Kita cuba mengangkat suara bukan sahaja di kalangan kaum majoriti tetapi juga mengambil kira kaum minoriti kerana kita (PBB) bersifat inklusif," jelasnya. 

Dengan wujudnya kestabilan politik akan membenarkan kerajaan menumpukan usaha ke arah pembangunan negeri maju menjelang tahun 2030. 

"Di Sarawak, tiada kaum yang boleh memerintah secara sendiri.

"Ini adalah realiti dan hakikat melainkan kita bekerjasama antara satu sama lain.

"Inilah kekuatan yang mengambil kira semua kaum," tegasnya.

Mengulas lanjut, PBB akan terus bekerjasama dengan parti komponen lain dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) termasuk usaha mengembalikan semula hak-hak negeri yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Dalam pada itu beliau mengingatkan ahli agar memanfaatkan sepenuhnya jawatan dan kepercayaan diberikan ahli sebagai cara untuk memperkukuh dan memperkuatkan parti.

Menurut Awang Tengah, semangat itu akan menjadikan parti lebih dihormati dan diyakini untuk membangunkan negeri dan menjaga rakyat.
 
Pergelutan merebut jawatan dan kuasa akan hanya menyebabkan kerosakan dan perpecahan parti. 

Sekiranya ada pertandingan, ia harus dianggap sebagai pertandingan dalam ahli keluarga dengan terus mengukuhkan hubungan dan kerjasama demi parti. 

"Tak guna ada jawatan kalau sekiranya berlaku pertandingan hebat dan tidak ada toleransi.

"Akibat pertandingan, parti rosak, ada blok berlainan sokongan dan parti menjadi lemah.

"Jadi jawatan yang dipegang tidak bermakna jika mengakibatkan parti pecah dan lemah.

"Apa yang kita mahu, apabila kita ada jawatan kita terus berusaha kukuhkan parti agar parti menjadi parti dihormati dan kuat dan dapat memperjuangkan hak," tegasnya. 

Beliau berharap momentum kejayaan dalam PRN lalu dapat diteruskan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. 

Dengan kemenangan besar, suara rakyat dan pemimpin negeri ini akan bertambah kuat di persidangan Parlimen.
 
Dalam pada itu seramai 450 ahli PBB Lambir dari 30 ranting Induk 27 wanita 28 Pemuda menghadiri mesyuarat itu. 

Hadir sama Pengerusi Tetap PBB Sarawak dan Speaker Dewan Undangan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti yang juga Naib Ketua Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita merangkap Ketua Cawangan PBB Bekenu Datuk Rosey Yunus dan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan yang juga Ketua Cawangan PBB Lambir Dr Ripin Lamat. 
 

  • oleh
  • Advertisement