Anda di sini

Kerajaan perlu kawal selia kenaikan harga barang, imbangi risiko inflasi tinggi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengawal selia kenaikan harga barangan bagi mengimbangi risiko inflasi, menurut pakar ekonomi.

Pengarah Perhubungan Luar Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Malaysia Dr Zokhri Idris berkata, keperluan mengawal selia daripada kerajaan dan pihak autoriti adalah bertujuan mengimbangi kenaikan harga barangan bagi mengelakkan inflasi hiper atau inflasi tinggi.

Katanya pengawalseliaan diperlukan supaya kenaikan harga barangan tidak begitu mendadak dan tinggi sehingga negara tidak mampu untuk mengimbangi kadar inflasi tersebut.

“Apa yang boleh pihak autoriti lakukan, sebagai contoh -- mengawal selia subsidi minyak kerana kita tahu minyak dan kos bahan mentah seperti bahan api merupakan kos sangat penting yang diserapkan dalam kos keseluruhan sesuatu produk.

“Kita perlu lihat bagaimana usaha-usaha yang kita lakukan ini berjaya mengurangkan risiko inflasi supaya tidak semakin membimbangkan dan sehingga tidak dapat diselamatkan lagi,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk: Kehidupan Disebalik Angka Inflasi di Bernama TV pada Rabu malam.

Gambar hiasan - BERNAMA
Gambar hiasan - BERNAMA

Zokhri berkata kerajaan dan pihak berkuasa perlu mengambil langkah proaktif dalam memantau kenaikan ini supaya tidak disalah guna atau dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

“Kita kena lihat dan jejak semula daripada titik-titik awal sehingga sampai ke tangan pengguna bagaimana kita boleh meminimumkan kos sesuatu produk,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata intervensi jangka pendek oleh kerajaan dan pihak berwajib dalam pasaran barangan makanan tidak seharusnya berlaku bagi mengelakkan gangguan di pasaran tersebut.

Oleh itu, katanya intervensi jangka panjang diperlukan bagi memastikan isu manipulasi oleh pihak tertentu dalam penetapan harga barangan dapat diselesaikan.

“Kerajaan juga perlu ada kaedah untuk melindungi golongan berpendapatan rendah, misalnya mewujudkan semula kedai rakyat yang menawarkan harga mampu milik bagi golongan tersebut bagi membolehkan mereka mempunyai pilihan untuk membeli.

“Ini sekali gus melegakan rakyat terutamanya golongan yang terjejas dengan kenaikan harga barangan,” katanya. - BERNAMA

Advertisement