Anda di sini

Individu bekerja sendiri digalak daftar bawah SKSPS

Advertisement
Phillip menunjukkan risalah mengenai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO untuk kumpulan sasaran orang bekerja sendiri (OBS).
Phillip menunjukkan risalah mengenai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO untuk kumpulan sasaran orang bekerja sendiri (OBS).

KUCHING: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menggalakkan individu yang bekerja sendiri mendaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sebelum 31 Disember 2022. 

Pengarah PERKESO Sarawak Phillip Sangkan berkata bagi pendaftaran yang dibuat sebelum tarikh tersebut, 80 peratus daripada caruman akan ditanggung oleh kerajaan untuk layak mendapat manfaat faedah yang disediakan di bawah skim ini. 

Di bawah skim ini katanya, pencarum orang bekerja sendiri (OBS) layak menikmati faedah perubatan, hilang upaya kekal, orang tanggungan, kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional, hilang upaya sementara, elaun layanan sentiasa, pengurusan mayat dan pendidikan. 

“Untuk rekod setakat ini, hanya sekitar 12,000  orang bekerja sendiri di Sarawak mendaftar di bawah skim PERKESO ini. 

“Jadi, saya menggalakkan OBS untuk mengambil peluang sehingga 31 Disember ini untuk mereka mendaftar di bawah skim ini kerana selepas tarikh itu tidak ada lagi subsidi 80 peratus daripada kerajaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama akhbar Utusan Borneo, The Borneopost dan See Hua Daily News di Ibu Pejabat PERKESO Sarawak di sini hari ini. 

Tambah Phillip, pendaftaran bagi skim ini di wajibkan kepada e-hailing seperti pemandu Grab, Foodpanda termasuk pemandu teksi dan bas dan mulai 1 Januari 2020, perlindungan skim ini diperluaskan kepada sektor pekerjaan sendiri atau OBS. 

Pendaftaran katanya, boleh dibuat dengan mengemukakan dokumen pengenalan dan surat pengesahan daripada agensi atau pihak berkuasa yang berkaitan di pejabat PERKESO atau secara dalam talian. 

Dalam perkembangan berkaitan, PERKESO menurut Phillip telah melancarkan operasi pemutihan Ops Kesan bermula 1 Mei hingga 31 Mei ini. 

Selepas tamat tempoh 31 Mei katanya, PERKESO akan melancarkan Ops Kesan di mana majikan yang dikesan tidak mendaftar atau tidak membayar caruman pekerja akan dikompaun serta-merta. 

Kompaun katanya, akan dikeluarkan mulai Jun 2022 di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dengan minimum RM500 hingga RM2,000. 

“Jadi sepanjang tempoh 1 hingga 31 Mei ini kita akan memaklumkan kepada majikan-majikan yang disasarkan di seluruh Sarawak untuk mendaftar di bawah PERKESO. 

“Selepas tamat tarikh 31 Mei, kita akan lancarkan Ops Kesan dan akan mengeluarkan kompaun serta-merta kepada majikan yang gagal berbuat demikian,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement