Anda di sini

Hajiji ingatkan pemimpin terus turun padang, jaga telinga untuk rakyat

Advertisement
 Hajiji (empat kiri) bersama tetamu kehormat yang lain melancarkan simbolik pelancaran Pesta Kaamatan Tuaran.
TUAI PADI: Hajiji (empat kiri) bersama tetamu kehormat yang lain melancarkan simbolik pelancaran Pesta Kaamatan Tuaran.

KOTA KINABALU: Semua wakil rakyat dan pemimpin yang dipilih diingatkan supaya tidak berhenti melaksanakan pendekatan turun padang untuk berjumpa dan mengenal pasti masalah rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menggesa wakil rakyat dan pemimpin supaya sentiasa menjaga telinga dan terus berhubung dengan rakyat untuk memahami aspirasi mereka dengan lebih baik.

Katanya, para pemimpin juga perlu berusaha untuk menangani apa juga isu di kawasan masing-masing.

"Jangan tunggu sehingga masalah timbul, sebaliknya sentiasa mendekati rakyat untuk memenangi hati dan fikiran mereka.

"Semua pegawai daerah dan penjawat awam di jabatan berkaitan juga perlu sentiasa proaktif dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Mereka diamanahkan untuk menyelesaikan masalah rakyat khususnya di kawasan luar bandar serta memaklumkan segala usaha atau tindakan kerajaan untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran di Dewan Seri Sulaman di sini semalam.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, pemimpin masyarakat juga mempunyai peranan penting memandangkan mereka berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk membawa perubahan.

Katanya, para pemimpin masyarakat perlu sentiasa mendengar akar umbi dan peka dengan keperluan mereka. Justeru, semua rancangan pembangunan kerajaan yang bermanfaat dapat disampaikan kepada rakyat.

Sehubungan itu jelasnya, melalui pendekatan berkenaan, rakyat tidak akan mudah terpengaruh dengan berita palsu dan pelbagai taktik untuk menipu mereka.

"Ini adalah aspirasi kerajaan supaya kita semua dapat terus bersatu dan fokus ke satu arah dan tidak terganggu dengan gangguan yang menghalang kemajuan.

"Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) menyediakan pelan hala tuju pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk membangunkan negeri kita dan rakyatnya. Kami mahu membawa lebih banyak pembangunan termasuk menarik seberapa banyak pelaburan domestik dan antarabangsa berimpak tinggi ke Sabah.

"Justeru untuk bergerak ke hadapan marilah kita melakukan lebih banyak tindakan. Bak kata pepatah, tindakan lebih penting dari kata-kata (action speak louder than words)," katanya.

Pada masa sama, Hajiji turut menyeru rakyat Sabah untuk berdiri dan menyokong sepenuhnya kerajaan agar usaha membangunkan negeri dapat dilakukan dengan jayanya.

Terdahulu, belia berkata, Pesta Kaamatan seharusnya terus menjadi platform perpaduan bagi masyarakat yang terdiri dari pelbagai budaya di negeri ini.

Menurutnya, perpaduan dan kerjasama dalam kalangan rakyat Sabah adalah elemen penting terutama di Sabah yang melibatkan rakyat berbilang kaum, agama dan kepercayaan hidup bersama secara harmoni sejak turun-temurun.

Katanya, perkahwinan campur juga menghasilkan keluarga besar pelbagai etnik dan kepercayaan yang menerima dan menghormati antara satu sama lain.

Beliau berkata, Pesta Kaamatan yang disambut pada bulan Mei, kini tidak lagi hanya menjadi sambutan masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus tetapi turut diraikan oleh seluruh rakyat di negeri ini.

"Ini adalah gambaran sebenar konsep Keluarga Malaysia yang ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai; Pembantu Menteri Kewangan Jasni Daya; dan Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Penganjur Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran Syahrin Samsir.
 

  • oleh
  • Advertisement