Anda di sini

Minat buat kek jadi pendapatan sampingan 

Advertisement
Antara kek hasil tangan Mariana yang ditempah pelanggannya.
Antara kek hasil tangan Mariana yang ditempah pelanggannya.

PANDEMIK COVID-19 yang melanda negara bermula sejak tahun 2020 sangat menduga masyarakat di seluruh dunia. 

Namun di sebalik dugaan itu, ia banyak mengajar rakyat untuk menjadi lebih cekal mengharungi tempoh sukar itu. 

Malah pelbagai ragam dan aktiviti dibuat rakyat untuk mengisi masa lapang dan menghilangkan rasa bosan disebabkan sekatan pergerakan dan terkurung di rumah. 

Ada yang berkebun, menjahit, berniaga secara dalam talian dan tidak kurang yang membuat pastri dan kek untuk dinikmati sendiri dan dijual bagi menjana pendapatan sampingan. 

Mariana Nyangon, 37, antara yang berjinak-jinak membuat kek semasa pandemik COVID-19 untuk mengisi masa terluang tersekat di rumah. 

Bermula dengan mengisi masa lapang ia menjadi minat dan akhirnya bertukar menjadi sumber pendapatan sampingan bagi Mariana. 

“Minat untuk membuat kek timbul ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) tahun 2020 di mana saya menyertai kelas belajar membuat kek secara dalam talian untuk mengisi masa lapang. 

“Dari situ saya menerima tempahan kek pertama daripada kawan saya dan saudara mara dan meskipun masih kurang yakin pada masa itu saya cuba juga untuk siapkan tempahan. 

“Namun tak sangka, kek pertama itu mendapat maklum balas positif dan saya mula muat naik kek yang saya hasilkan dalam Facebook. 

“Dari situ, rakan-rakan di Facebook mula nampak hasil tangan saya dan mula menerima banyak tempahan untuk hari jadi, ulang tahun perkahwinan, hari ibu, hari bapa dan sebagainya,” katanya. 

Kini menurut Mariana, dia sudah tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan kek yang diterima daripada pelanggannya sekitar di Kuching, Samarahan malah sehingga Lundu. 

Katanya memandangkan dia bekerja sebagai penjawat awam, Mariana hanya mampu menerima tempahan antara lima hingga lapan kek seminggu. 

Malah katanya ada masanya dia terpaksa menolak jika terlalu banyak tempahan diterima untuk memastikan tidak mengganggu tugas hakikinya sebagai penjawat awam. 

Mariana juga perlu memastikan kesibukan membuat kek tidak menjejaskan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu kepada tiga orang anaknya. 

Dari segi harga, kek yang dibuat oleh Mariana dijual pada harga bermula dari RM35 dan ke atas bergantung kepada saiz dengan rekaan kek. 

Tempahan katanya perlu dibuat lebih awal daripada tarikh sebab perlukan masa untuk menyediakan bahan-bahan kek. 

Mariana juga menyediakan perkhidmatan penghantaran terus kepada pelanggan dengan bayaran boleh dibuat secara tunai atau perbankan Internet. 

Kini menurut Mariana, selain tempahan kek dia juga ada menerima tempahan gubahan bunga untuk kejutan kepada insan istimewa. 

Ingin menempah hasil tangan Mariana atau Maria Kitchen & Bouquet boleh kunjungi Facebook Maria Ana Nick. 

  • oleh
  • Advertisement