Anda di sini

Milik RM30,000 secara salah, keldai akaun didenda RM500 

Advertisement
 

SIBU: Seorang keldai akaun dikenakan denda RM500 atau penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan memilik wang RM30,000 secara salah hasil daripada skim penipuan.

Jonathan Wee, 23, dari Johor, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibaca mengikut Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga bulan dan denda maksimum RM500.

Mengikut pertuduhan, Wee didakwa memiliki wang yang diperolehi secara salah sebanyak RM30,000 itu pada 8 November 2021, antara jam 10.36 pagi hingga 11.07 pagi di sebuah bank di sini.

Fakta kes menyatakan pada 4 November 2021 kira-kira jam 8 pagi, pengadu telah menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali dan mesej WhatsApp yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Pemanggil telah memberitahu pengadu bahawa dia terlibat dengan sindiket pengubahan wang haram serta meminta pengadu memindahkan kesemua wang ke dalam empat akaun bank.

Pada 8 November 2021 hingga 12 November 2021, pengadu telah membuat 14 transaksi pembayaran ke dalam empat akaun bank yang diberikan membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM96,400.

Pengadu menyedari dirinya ditipu apabila gagal menghubungi pemanggil terbabit sebelum membuat laporan polis setelah dinasihati oleh rakannya.

Hasil siasatan, pihak bank telah mengenal pasti salah satu akaun bank itu milik tertuduh dan pengadu telah membuat empat transaksi pemindahan wang ke akaun tersebut membabitkan wang berjumlah RM30,000.

Wee dibebaskan setelah membayar dendanya.

Advertisement