Anda di sini

Kuching Marathon, Miri Marathon kembali dianjurkan pada Okt, Nov

Advertisement
Abdul Karim (tengah) melancarkan Kuching Marathon dan Miri Marathon 2022. Turut kelihatan Snowdan (tiga kiri), Wong (dua kiri) serta yang lain. - Gambar Roystein Emmor 
Abdul Karim (tengah) melancarkan Kuching Marathon dan Miri Marathon 2022. Turut kelihatan Snowdan (tiga kiri), Wong (dua kiri) serta yang lain. - Gambar oleh Roystein Emmor 

KUCHING: Acara Kuching Marathon dan Miri Marathon kembali dianjurkan tahun ini selepas dua tahun menyepi berikutan pandemik COVID-19. 

Tahun ini, Kuching Marathon yang memasuki edisi ketujuh akan berlangsung di Padang Merdeka di sini pada 2 Oktober 2022. 

Manakala, Miri Marathon yang memasuki edisi kelima akan berlangsung di Taman Bulatan, Miri pada 2 November 2022.  

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada pelancaran kedua-dua acara ini hari ini berkata, tempoh dua tahun lepas amat mencabar bukan sahaja bagi sektor pelancongan sukan. 

Kini katanya, dengan negara mulai memasuki fasa peralihan ke endemik serta pembukaan sempadan, lebih banyak acara sukan dan acara-acara lain akan kembali diadakan di negeri ini. 

“Dengan pelancaran kedua-dua acara ini hari ini, kita menjangkakan menerima penyertaan dari luar negara. 

“Saya berharap kedua-dua acara ini akan mendapat sambutan memberangsangkan daripada peserta tempatan dan luar,” katanya pada pelancaran di Dewan Mesyuarat Mulu, Tingkat 17, Bangunan Baitul Makmur II di sini hari ini. 

Bercakap lanjut mengenai acara tersebut, Kuching Marathon 2022 (KM22) terbuka kepada empat kategori 42km, 21km, 10km dan 5km. 

Manakala, Miri Marathon 2022 (MM22) terbuka kepada tiga kategori 42km, 21km dan 10km. 

Penganjur Persatuan Marathon Kuching menyasarkan 10,000 peserta bagi KM22, manakala Persatuan Marathon Miri menyasarkan 7,000 peserta bagi MM22. 

Semua peserta yang menamatkan larian akan menerima medal dan kedua-dua KM22 dan MM22 diperakui oleh Persatuan Marathon dan Perlumbaan Jarak Jauh Antarabangsa (AIMS). 

Pendaftaran secara dalam talian kini dibuka menerusi www.marathonkuching.com dan www.marathonmiri.com. 

Turut hadir pada pelancaran tersebut, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Snowdan Lawan, Presiden Persatuan Kuching Marathon Wong Chen Yi serta yang lain. 

Advertisement