Anda di sini

Dementia di Pagi Syawal

Advertisement
 

Oleh Abang Median Abang Said

MASJID kayu lama berhalaman luas itu kembali bergema dengan takbir raya setelah dua tahun disenyapkan oleh COVID-19. Penularan virus seperti desau angin yang berpusar kencang – menumbangkan pohon-pohon, merontokkan daun-daun zikir dan takbir di masjid lama itu hingga dedaunan kering tersapu angin yang bergulungan di tanah. Hanya kedengaran atap spandek yang berderak-derak menggantikan takbir raya. Begitu kesedihan dan kehampaan pernah melilau di pelupuk mata yang dirongrong dari getar jiwa. Yah, tahun ini semuanya berakhir! Saf-saf antara makmum telah kembali dirapatkan seperti rapatnya ukhuwah di pagi Syawal. 
    Aku melihat seorang lelaki berjambang berjalan menunduk dan terhencot-hencot di hadapanku. Dia diiringi oleh seorang lelaki muda yang kekadang membimbit tangannya. Aku yakin, aku mengenali lelaki tersebut biarpun aku pernah membakar buku catatan persahabatan dengannya. Buku yang terbakar sehingga memarakapikan sengketa – yah, meninggalkan bau hangit yang menyucuk hidung! Seperti mengingati era pandemik, kenangan itu serupa lumpur yang mengendap di dasar sungai hingga menjadi kerak. Mungkinkah pagi Syawal ini seperti hujan rahmat yang melembutkan dan mengalirkan kerak kenangan itu?
    Aku tidak beranjak dari tempat dudukku. Dari saf belakang, aku mampu melihat wajah-wajah keletihan makmum yang pastinya terkejut apabila 1 Syawal 1443 Hijrah jatuh sehari lebih awal daripada tarikh yang dinyatakan dalam almanak dan kalendar rasmi. Semuanya pasti kalut untuk menyediakan juadah pagi raya – membakar lemang, menganyam ketupat termasuk memasak kari dan rendang. Dalam media sosial, ada yang masih kalut membeli baju raya atau mengecilkan baju yang sedikit besar setelah sebulan berpuasa. Malahan ada juga yang dijanjikan untuk mengambil baju raya pada hari ini dengan andaian bahawa raya jatuh pada esok hari. Tentunya individu berkenaan terpaksa menggunakan baju tiga tahun lepas untuk ke masjid jikalau ditolak dengan dua tahun pandemik yang menggasir seri dan keterujaan berhari raya. Beberapa hari sebelum ini tular tentang data yang diperoleh daripada Pejabat Almanak Nautika Baginda (UK) menunjukkan ketinggian dan pemanjangan anak bulan pada waktu matahari terbenam bagi Kuala Lumpur adalah masing-masing 5 darjah dan 7 darjah. Menurut individu berkenaan, dengan kaedah Imkanur Rukyah, hilal baharu kelihatan walaupun tidak dapat dilihat kerana cuaca buruk. Ternyata, dengan 29 stesen cerapan hilal di seluruh negara, kebarangkalian hilal itu kelihatan menjadi kenyataan di salah satu stesen yang tidak dinyatakan. Tentu ada hikmah tatkala Syawal hadir sehari lebih awal. Semua itu ketentuan-Nya.
    Yang pasti, wajah kelesuan masyarakat sirna dipancar sinar keterujaan untuk memasuki era andemik bermula 1 Mei 2022. Hari Raya tahun ini pasti tidak ada lagi video-video tular tentang makmum yang bersembahyang di luar kawasan masjid. Akulah antaranya yang terpaksa menghamparkan sejadah di luar pagar apabila bilangan makmum yang dibenarkan sudah mencapai had mengikut kapasiti keluasan masjid. Biarpun sudah melangkah ke fasa andemik, tetapi pelitup muka masih lagi digunakan di tempat tertutup termasuk di masjid. Namun aku masih dapat mengenali wajah lelaki berjambang itu tadi. Ingatanku masih tajam. Kenangan lama itu tetap menikam. 
    Hal pertama yang muncul di kepala ialah ketika lelaki itu membuat tuduhan kepadaku bahawa mungkin dia yang akan terasa lebih kehilangan berbanding aku, sahabatnya. Benar, selepas itu dia kehilangan dunia sasteranya disebabkan rajuk dan prasangkanya yang tidak berasas. Jarum jam menggenapkan pukul 4 petang pada hari Nisfu Syaaban beberapa tahun yang lalu –  aku berpuasa sunat dan bercadang ke surau pada waktu Maghrib – ketika itu aku menerima kiriman WhatsApp daripadanya. Pada mulanya, aku tidak mengendahkan mesejnya yang lebih kepada bebelan panjang yang tidak berasas. Aku cuba berbaik sangka. Persis hujan yang turun pada petang tersebut, aku disirami oleh mesejnya yang berbentuk tuduhan hingga aku lencun dan tergigil menahan rasa. 
Sememangnya berlaku pertelagahan dan percanggahan pendapat antara kami pada petang itu. Luahan ketidakpuasan rasa berlaku mendadak. Dia tidak pernah menyatakan perkara tersebut sebelum ini secara bersemuka. Jika tidak, senang untuk aku menangkis dan berhujah. Sungguh. Aku sememangnya tidak pernah membaca karyanya yang memperkatakan tentang isu tanah pusaka yang dianggapnya terlalu personal. Tema atau persoalan itu terlalu universal – perkara yang pernah berlaku kepada sesiapa sahaja dan banyak ditulis oleh ramai penulis lain sebelum ini. Cara pengolahan juga jauh berbeza. Entah di manakah persamaannya. Dia menuduhku menduplikasi karyanya tanpa hujah. Aku mengajaknya bersemuka dalam majlis ilmu. Dia bersikeras dan terus menolak – tanpa berfikir panjang. Aku cuba berdiplomasi dan mahu bersemuka dengannya sebagai seorang sahabat di restoran – makan nasi lalapan sambil berbicara santai – biar tali prasangka dan kekusutan itu terburai. Dia mengatakan bahawa aku akan memanipulasi kemahiranku berkomunikasi untuk menafikan hujahnya. Jadi apa yang aku mampu lakukan? Adakah aku hanya mampu membiarkan tuduhan itu menjadi kuku yang mencakarlukakan jiwaku? 
Hilang seleraku untuk berbuka puasa pada petang itu menelan kepahitan tuduhannya. Lidah terasa tawar dan kerongkongan terasa sempit menelan makanan. Mesej melalui teksnya menjadi lolongan anjing yang menyalak di dalam batok kepala. Telinga jiwaku terasa bingit dan sebal. Bibirku terketar. Degupan bergetar oleh perasaan marah. 
    Aku mendapat tahu daripada Zyli – sahabat penulis yang lain bahawa karyanya itu tersiar di sebuah akhbar tempatan pada bulan Oktober. Karyaku pula tersiar di sebuah majalah pada bulan November. Mungkin atas prinsip itu dia mengatakan bahawa aku memplagiat karyanya. Aku mendapat tahu perkara itu, dua hari selepas nisfu Syaaban. Aku tidak mampu mempertahankan diri dan menyatakan kebenaran kerana pada waktu itu nombor telefonku telah disekat daripada menghubunginya. Tuduhannya keras – kata-kata yang seperti tangan mengoyakkan satu persatu helaian buku sehingga buku itu tidak mempunyai muka surat. Yang tinggal hanyalah kulit buku yang menyembunyikan kekosongan. Apalah maknanya buku tanpa helaian muka surat. Ibarat manusia yang kehilangan maruah dan jati diri. 
    “Bagaimana mungkin aku terpengaruh dengan karyanya? Memang karyaku tersiar sebulan lewat. Tetapi karyaku itu telah dihantar kepada editor majalah berkenaan sembilan bulan lebih awal sebelum penyiaran cerpennya. Aku mempunyai bukti daripada salinan e-mel kepada editor berkenaan. Lagipun, cerpen itu ada mengambil sedikit sisipan cerita daripada novelku yang telah terbit dua tahun yang lepas – jauh lebih lama daripada idea cerpennya. Tidak pernah pula aku menuduh dia menduplikasi karyaku kerana bagiku, persoalan tentang tanah dan rumah pusaka yang terjual itu adalah isu yang universal. Tidak ada yang eksklusif daripada idea berkenaan.”
    Nada kesal bercampur dengan rasa marah kulampiaskan kepada Zyli yang seolah-olah menjadi orang perantara kepada isu yang kuanggap remah tetapi telah membakar hubungan persahabatanku dengan penulis berkenaan. Aku kesal dengan tuduhan tersebut tetapi aku lebih menyesali tentang persahabatan kami yang terputus. 
    Pada malam nisfu Syaaban yang sepatutnya kuhidupkan dengan bacaan Yasin, surah al-Mulk dan surah-surah lain sebelum mendepani Ramadan, sebaliknya aku habiskan dengan perkara yang tidak sepatutnya. Aku telah mengambil buku-buku yang dihadiahkannya daripada rak buku di rumahku yang berdebu. Aku telah longgokkan buku-buku dan majalah-majalah yang mempunyai karyanya di halaman rumah. Memang bilangannya tidak banyak. Aku letakkan buku-buku dan majalah tersebut dalam bekas pemanggang yang diperbuat daripada tong. Aku nyalakan pemetik api. Aku bakar semua karya-karyanya – lebih tepatnya, aku telah membakar persahabatan kami. Semuanya telah menjadi abu yang turut berterbangan ditiup angin. 
    Persis angin jugalah yang meniupkan sebuah hadis yang telah kubaca dan kufahami pada malam tersebut sehingga hatiku ditusuk sembilu pilu. Hadis tersebut diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
    “Apabila tiba malam nisfu Syaaban, Allah SWT mengampunkan hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan.”. 
Imam al-Sakhawi menyatakan bahawa perawi-perawi hadis ini tidak ada yang dipertikaikan. Terdapat beberapa lagi hadis lain yang diriwayatkan oleh Mu’az Bin Jabal r.a, Abdullah bin Amr r.a dan Abu Musa al-Asy’ari r.a yang memperkatakan perkara yang hampir sama, iaitu tentang permusuhan dan persahabatan. 
Sungguh aku kecewa. Mengapa tuduhan itu dilontarkannya pada petang nisfu Syaaban hingga mengocak ketenanganku? Seboleh-bolehnya aku tidak mahu memikirkan tentang lelaki tersebut, lebih-lebih lagi tentang tuduhannya. Namun sebagai manusia biasa ditambah lagi dengan jiwa halus sastera yang mengalir dalam jiwa, aliran itu jugalah yang berkocak – berputar dan berpusar dalam minda. 
    Takbir raya terus bergema dengan lantunan suara yang bergetar dari dalam. Sungguh aku merindui detik seperti ini setelah dua tahun momen tersebut disenyapkan oleh COVID-19. Suasana yang jauh berbeza apabila bertakbir di rumah dan di masjid dengan jumlah makmum yang ramai. Gema itu mengikat ukhuwah yang kukuh.

 

    Pagi ini aku mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya yang telah disyariatkan sejak tahun kedua Hijrah. Mazhab Syafi’e dan Maliki meletakkan hukum solat sunat hari raya sebagai sunat muakkad hingga sejak akil baligh, aku tidak pernah meninggalkan solat tersebut. 
    Kipas angin berputar ligat di siling dan dinding. Sebilangan kecil makmum telah meninggalkan masjid lama itu setelah selesai solat. Menurut Imam Syafi’e, hukumnya adalah makruh bagi seorang yang menghadiri solat hari raya tetapi bercakap-cakap ketika khutbah atau meninggalkan majlis tanpa menunggu bacaan khutbah. Lelaki berjambang yang duduk tiga saf di hadapanku terus memaku punggungnya di lantai masjid. Begitu juga aku yang terus menghadam inti khutbah tentang konsep bermaaf-maafan lebih-lebih lagi pada bulan Syawal. 
    Khatib mengingatkan tentang kepentingan bermaaf-maafan yang meningkatkan keimanan seseorang pada agama seperti yang difirmankan dalam Surah al-Baqarah, ayat 237:
    “Dan perbuatan kamu bermaafan (yakni halal menghalalkan) lebih dekat kepada takwa.”
    Khatib turut mengimbau kisah Nabi Yusuf a.s yang telah dibuang ke dalam sebuah telaga buta ketika masih kecil. Perbuatan itu dilakukan oleh adik-beradiknya akibat rasa cemburu.
    "Apabila Nabi Yusuf sudah menjadi orang yang berkuasa di Mesir, baginda tidak berdendam. Malah, baginda memaafkan adik-beradiknya.”
     Aku cuba masuk ke dalam situasi Nabi Yusuf a.s. Mampukah aku memaafkan adik-beradikku jikalau diperlakukan sedemikian? Bagaimana pula dengan kesalahan lelaki berjambang itu? Dia tidak seperti tiga tahun yang lalu – bertenaga dan karismatik. Kini, dia nampak berusia melebihi usianya. 
     Aku pernah mendengar ceramah daripada seorang ustaz yang menjelaskan bahawa Allah SWT akan mengampunkan kesalahan orang yang memaafkan orang lain.
     "Semua sifat Allah, kita boleh tiru kecuali satu sahaja, iaitu takabbur (membesarkan dirinya). Ingatlah bahawa kita tidak boleh membesarkan diri kita. Namun apabila melibatkan sifat Allah yang lain seperti ar-Rahman (pengasih), ar-Rahim (penyayang), al-Adl (adil) dan al-'Afuw (pemaaf), kita boleh lakukan. Semua itu merupakan satu perbuatan mulia apabila kita meniru sifat-sifat Allah. Malah, kita akan dekat dengan keampunan-Nya," ujar beliau.
     Aku menarik nafas yang terasa menyendat terbata-bata. Aku membasahkan bibirku yang kering dengan lidah. Perlukah aku yang dahulu mengucapkan maaf?        Perlukah aku memaafkan kesalahannya tiga tahun yang lalu? Selepas peristiwa tersebut, aku tidak pernah lagi mendengar perkhabarannya. Dia juga tidak lagi menulis. 
    “Tidak akan hilang maruah atau jatuh harga diri seandainya kita memaafkan orang lain.” 
    Kata-kata nasihat sahabatku, Zyli sentiasa menjadi embun yang mendamaikan. Aku sentiasa menghargai nasihat dan tegurannya. Dia kaitkan kepentingan bermaaf-maafan dengan kisah Rasulullah SAW sewaktu membuka kota Mekah tatkala baginda memaafkan penduduk Mekah yang pernah menghalau baginda sebelum ini.
    Sekali lagi aku menarik nafas dan menghembusnya perlahan. Cermin mataku berkabus menerima pantulan nafas dari pelitup muka. Ada debaran di dada yang rasanya tidak perlu wujud. Yah, sepatutnya perkara ini kulakukan tiga tahun yang lalu! Persahabatan itu masih boleh diteruskan biarpun bukan dengan karya atau buku. Aku sememangnya sudah nekad untuk tidak membaca karyanya lagi. Kata-kata itu sudah kutelan menjadi azam. Aku tidak mahu ada lagi prasangka. 
    Sewaktu khatib menghabiskan bacaan khutbahnya, semua makmum berdiri. Dengan susah payah lelaki berjambang itu berdiri. Ada yang bersalaman dan ramai juga yang hanya mengangguk sebagai isyarat salam. Kekhuatiran masih menebal dalam kalangan masyarakat tentang serangan COVID-19 yang telah mengubah landskap sosial dan ekonomi masyarakat. 
    Aku menghampiri sahabat lamaku itu. Aku berdiri di hadapannya – dia menunduk tidak boleh berdiri tegak. Mata kami bertaut dan aku melemparkan senyuman kepadanya. Matanya terkebil-kebil. Dia memandangku kosong – tanpa perasaan. Keceriaan seperti telah dirompak dari roman wajahnya. Kedut di wajahnya persis kegetiran hidup yang dilalui. Rasa hambar menguasai suasana. Aku terasa serba salah sama ada hendak menghulurkan salam atau hanya meletakkan tangan di dada. 
    “Walau apa pun yang berlaku, aku tetap menganggap kau seorang sahabat. Aku telah memaafkan segala prasangka burukmu terhadapku.” Ada ketaran di bibirku. Ada debaran yang mengacah.
    “Maaf,” dia berjeda seketika, mengamati wajahku sebelum menyambung bicara, “Aku tidak mengenalimu.” 
    Aku terpempan. Pertuturannya juga tidak jelas. Ada perkataan yang tersekat dalam gulungan lidah. Adakah pendemik dan virus COVID-19 telah mengunggis otaknya? Apakah yang telah berlaku kepadanya sepanjang tiga tahun kami terputus hubungan? Aku memandang wajah lelaki muda yang mengiringinya.                      Pandanganku penuh dengan tanda soal yang perlukan penjelasan. Lelaki muda itu mengangguk seperti memahami lontaran isyarat mataku. 
    “Dia sebenarnya mengalami Dementia Vaskular. Dia kehilangan ingatan dan hanya mempunyai ingatan sementara. Dia juga mengalami aphasia iaitu masalah dari segi pertuturan. Menurut doktor, semua ini disebabkan masalah hipertensi yang dialaminya.”
    Ada kesedihan bergenang di kolam mataku. Menurut Zyli dulu, cerpen yang ditulisnya adalah masalah sebenar yang dialaminya. Itulah sebabnya dia menggangap isu atau tema dalam cerpen itu terlalu peribadi sehingga berprasangka aku menduplikasi plot cerpennya. 
    Aku merenung wajah berjambang sahabat lamaku itu. Aku bukan pengidap Dementia hingga melupai namanya. Aku boleh menyusun huruf daripada namanya untuk menjadi cerita panjang. Tetapi di pagi Syawal selepas fasa pandemik, biarlah aku juga menjadi pengidap Dementia untuk melupai kesalahannya padaku. 
    Spontan aku memegang bahunya. Dia masih tertunduk keliru – tetap tidak berkata sepatah pun. Tidak juga membalikkan tubuhnya. Tidak juga melihat mataku yang berkaca-kaca – yah, seperti matanya! 

 
 
Advertisement