Anda di sini

Dua ditembak mati di ‘ladang penjagaan’ pesakit mental Belanda

Advertisement
Pegawai forensik memeriksa kawasan di mana dua orang maut dan dua lagi tercedera dalam insiden tembakan di ‘ladang penjagaan’ orang yang mempunyai isu mental atau sosial di Alblasserdam pada Khamis lepas. — Gambar AFP
Pegawai forensik memeriksa kawasan di mana dua orang maut dan dua lagi tercedera dalam insiden tembakan di ‘ladang penjagaan’ orang yang mempunyai isu mental atau sosial di Alblasserdam pada Khamis lepas. — Gambar AFP

THE HAGUE: Dua orang ditembak mati dan dua lagi tercedera kelmarin di sebuah “ladang penjagaan” di Netherlands bagi orang yang mempunyai isu mental atau sosial, menurut polis dan media tempatan.

Polis Belanda menyatakan mereka telah menahan seorang lelaki selepas insiden di Alblasserdam, menghadap kincir angin terkenal Kinderdijk berhampiran Rotterdam, sebuah kawasan warisan dunia UNESCO.

Mangsa yang maut adalah seorang gadis berusia 16 tahun dan wanita berusia 34 tahun, jurucakap polis di tempat kejadian dipetik sebagai berkata oleh agensi berita ANP.

Seorang budak lelaki berusia 13 tahun dan wanita berusia 20 tahun mengalami kecederaan serius.

“Suspek telah ditangkap dan senjata api dirampas. Beberapa saksi telah diawasi, bantuan telah diatur untuk mereka. Siasatan sedang dilakukan,” kata polis Rotterdam di Twitter.

Suspek lelaki telah dikenali oleh pihak polis selama beberapa tahun sebagai “keliru dan pengganggu”, lapor beberapa media Belanda.

Kejadian tembakan berlaku di sebuah ladang di mana kanak-kanak, golongan muda dan dewasa yang mempunyai isu mental atau sosial bekerja dengan haiwan sebagai satu bentuk terapi, lapor penyiar NOS.

Dua ambulans udara telah mendarat di tempat kejadian dan beberapa kenderaan kecemasan ditempatkan di luar ladang, jelasnya. — AFP
 

Advertisement