Anda di sini

Belarus hukum penjara enam tahun teman wanita aktivis pembangkang

Advertisement
 

MOSCOW: Teman wanita kepada seorang aktivis pembangkang Belarus yang ditangkap bersamanya apabila pesawat mereka dipaksa untuk mendarat di Minsk kelmarin dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun, menurut sebuah kumpulan hak asasi.

Sofia Sapega (gambar), 24, ditahan bersama aktivis pembangkang Belarus, Roman Protasevich, 27, pada Mei 2021 apabila pesawat Ryanair dari Greece ke Lithuania diarahkan mendarat ketika ia melepasi Belarus.

Sapega, seorang rakyat Rusia, berdepan tujuh dakwaan jenayah termasuk “menghasut kebencian sosial” dan “keganasan atau ancaman” terhadap polis.

Selepas satu perbicaraan tertutup, sebuah mahkamah di Belarus menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun terhadap Sapega, kata kumpulan hak asasi Vyasna.

Selepas penahanannya, Sapega bekerjasama dengan pihak berkuasa dan merayu kepada Presiden Belarus Alexander Lukashenko bagi pembebasannya.

Protasevich melarikan diri ke Eropah pada 2019 dari mana dia mengendalikan bersama saluran Nexta Telegram, media pembangkang utama Belarus yang membantu mengarahkan penunjuk perasaan ketika rali bersejarah terhadap pemilihan semula Lukashenko yang dipertikaikan pada 2020.

Selepas penangkapan mereka, kedua-dua Protasevich dan Sapega muncul dalam video “pengakuan” yang menurut penyokong mereka telah direkodkan dalam keadaan paksaan dan merupakan satu taktik biasa rejim untuk mendesak pengkritik.

Protasevich masih berada dalam penahanan rumah di Belarus menunggu perbicaraan. — AFP
 

Advertisement