Anda di sini

Anak Seni fokus pada telefilem, teater muzikal bagi pertengahan kedua 2022 

Advertisement
Jalot (berdiri) beramah mesra dengan para tetamu di majlis yang diadakan di kediaman beliau di Kuching.
Jalot (berdiri) beramah mesra dengan para tetamu di majlis yang diadakan di kediaman beliau di Kuching.

KUCHING: Tayangan perdana telefilem terbaharu dan pementasan fizikal teater muzikal merupakan agenda utama buat Persatuan Anak Seni Sarawak (Anak Seni) sepanjang pertengahan kedua tahun ini.

Menurut presidennya Jalot Jeman, peralihan ke fasa endemik COVID-19 memberi lebih ruang kepada kebanyakan sektor, termasuk persada industri kreatif, untuk kembali aktif dalam menjalankan rancangan dan aktiviti masing-masing.

“Kami sudah membuat perancangan semenjak penubuhan rasmi Anak Seni pada November tahun lepas, tetapi fokus untuk pertengahan kedua 2022 adalah tayangan perdana ‘Misi’ dan pementasan teater muzikal ‘Sayang Sarawak’,” beliau memberitahu Utusan Borneo pada ‘Majlis Aidilfitri 2022’ yang diadakan di kediamannya di Jalan Kulas Utara Satu di sini pada Jumaat.

Untuk telefilem tersebut, Jalot bersyukur kerana ia mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dan juga bantuan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

“Pada masa ini, ‘Misi’ berada dalam proses terakhir pasca-penerbitan. Sejujurnya, saya sangat berbangga dengan telefilem ini kerana hampir semua tenaga kerjanya, di hadapan dan di sebalik lensa, adalah rakyat Sarawak.

“Untuk ‘Sayang Sarawak’ pula, kami telah membuat rakaman pra-pementasan tanpa penonton di ibu pejabat Finas Sarawak di Petra Jaya pada January 2022, selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) pada masa itu. Sekarang, kami sedang mengatur program untuk siri pementasan fizikal yang dijadualkan untuk pertengahan kedua tahun ini,” ujar beliau.

Jalot, yang juga merupakan ahli Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), berkata Anak Seni berhasrat untuk menjalin kerjasama erat dengan Majlis Seni Sarawak (MSS) dalam merealisasikan program-program yang bertujuan untuk membangun dan memantapkan status seni persembahan dan industri kreatif di negeri ini.

Dalam hal ini, beliau sangat teruja dengan pengumuman kerajaan mengenai peruntukan RM10 juta di bawah Dana Mudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak 2022, yang bertujuan untuk membantu para penggiat seni tempatan dalam memulihkan sektor ini yang telah terjejas teruk akibat Pandemik COVID-19.

“Sememang Anak Seni memerlukan dana untuk menjalankan segala aktiviti kami, dan dengan adanya kerjasama dan sokongan daripada MSS dalam memohon peruntukan ini, kami yakin kami akan dapat memberi tumpuan penuh dalam menjalankan segala program yang bermatlamat untuk menyumbang kepada pembangunan sektor warisan, kesenian dan kebudayaan Sarawak,” ujar Jalot.

Dana Mudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak 2022 telah diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam satu sidang media di sini pada 27 April tahun ini.

Menurut menteri tersebut, permohonan untuk dana ini terbuka kepada para penggiat seni individu atau berpersatuan, pertubuhan bukan kerajaan dan juga pertubuhan tidak berorientasikan keuntungan di Sarawak.

Setiap cadangan program dan aktiviti mesti memenuhi syarat-syarat permohonan, di mana tempoh memohon kekal terbuka sehingga 28 Oktober ini.

Semua aktiviti yang diusul mesti dilaksanakan dalam tahun ini.

Setiap permohonan hendaklah dikemukakan tidak lewat daripada 60 hari, atau dua bulan, sebelum tarikh pelaksanaan yang telah ditetapkan oleh para pemohon.

Borang permohonan dan garis panduan untuk dana ini boleh dimuat turun dari laman web rasmi kementerian, iaitu mtcp.sarawak.gov.my. 
 

  • oleh
  • Advertisement