
MOSCOW: Tentera Rusia kelmarin berkata pasukan tenteranya dan kumpulan pemisah pro-Moscow telah menggunakan atileri dan pesawat untuk menyasarkan kilang keluli Azovstal di bandar Mariupol di mana pejuang Ukraine telah membuat kubu terakhirnya.
Kementerian Pertahanan Rusia menuduh anggota batalion Azov dan pasukan tentera Ukraine yang lain telah menggunakan tempoh reda dalam pertempuran untuk sekali lagi mengukuhkan kedudukan tempur mereka di kilang tersebut.
“Menggunakan artileri dan pesawat, unit-unit dalam tentera Rusia dan Republik Rakyat Donetsk telah mula untuk memusnahkan “kedudukan tempur” tentera Ukraine, kata kementerian pertahanan Rusia.
Mariupol merupakan antara bandar yang paling teruk terjejas di Ukraine.
Kyiv menyatakan lebih 100 orang awam telah dipindahkan sepanjang hujung minggu dari kilang Azovstal, benteng terakhir pasukan tentera Ukraine di Mariupol, di mana anggota tentera dan orang awam berlindung di dalam terowong bawah tanah. — AFP