Anda di sini

Keluarga, mangsa terselamat peringati ulang tahun pertama nahas metro Mexico 

Advertisement

Upacara penuh emosi itu untuk beri penghormatan kepada 26 mangsa yang maut 

Ahli keluarga mengambil bahagian dalam perarakan untuk memberi penghormatan kepada mangsa yang maut dalam nahas metro Mexico di kawasan kejiranan Tlahuac, di Kota Mexico pada ulang tahun pertama kemalangan itu kelmarin. — Gambar AFP
Ahli keluarga mengambil bahagian dalam perarakan untuk memberi penghormatan kepada mangsa yang maut dalam nahas metro Mexico di kawasan kejiranan Tlahuac, di Kota Mexico pada ulang tahun pertama kemalangan itu kelmarin. — Gambar AFP

KOTA MEXICO: Mangsa yang terselamat dan ahli keluarga mangsa maut dalam kemalangan metro Kota Mexico mengadakan upacara penghormatan yang penuh emosi pada Khamis, ulang tahun pertama nahas itu yang mengorbankan nyawa 26 orang dan beberapa  lagi tercedera.

Dalam keadaan berpelukan dan menangis, beberapa keluarga  meletakkan salib yang dihiasi dengan bunga di kawasan di mana  satu bahagian landasan yang runtuh, menyebabkan sebuah kereta api penumpang terjunam ke bawah.

“Tiada apa-apa  yang boleh menghidupkan semula ahli keluarga kami. Tiada apa-apa yang boleh mengembalikan anak lelaki saya,” kata Marisol Tapia,  yang anak lelakinya berusia 12 tahun adalah antara yang terkorban.

“Kami mahu menghalang satu lagi tragedi seperti ini berulang lagi,” tambah beliau.

Usahawan terkenal Mexico Carlos Slim, yang syarikatnya telah membina bahagian yang rosak, berjanji akan membayar kos pembinaan semulanya.

Namun segelintir ahli keluarga dan mangsa yang terselamat – termasuk Tapia – mahu ia dimusnahkan dan menolak untuk menandatangani “perjanjian pampasan” dengan syarikat bilionair itu Grupo Carso.

“Saya mahu ia dirobohkan!” Sergio Santiago, yang telah tercedera dalam kemalangan, menjerit melalui satu alat pembesar suara ketika majlis peringatan tersebut.

“Kehidupan saya terumbang-ambing disebabkan kekurangan sokongan,” kata lelaki berusia 40 tahun itu, menyatakan dia telah mencuba sebanyak dua kali untuk membunuh dirinya kerana trauma setelah terperangkap dalam runtuhan.

“Saya mengalami patah pada bahagian paha. Saya turut mempunyai masalah pada tulang kering saya dan saya tidak dapat berjalan,” tambahnya.

Siasatan oleh pendakwa raya mendapati bahawa keruntuhan jejambat itu berpunca daripada kesilapan dalam pembinaannya.

Lapan bekas pegawai telah didakwa atas tuduhan homisid dan kerosakan akibat kecuaian.

Satu perbicaraan dijadualkan pada Isnin telah ditunda sehingga 6 Jun disebabkan salah seorang daripada tertuduh  tidak hadir di mahkamah.

Syarikat perkhidmatan kereta api, yang terbaru di bandar ini, telah dibelenggu oleh masalah sejak ia dibuka pada 2012.

Siasatan oleh syarikat kejuruteraan Norway DNV, yang diupah oleh dewan bandar raya, memutuskan bahawa kemalangan itu berpunca daripada kecacatan pembinaan termasuk masalah dengan alang dan selak. — AFP 
 

Advertisement