Anda di sini

‘Beatle’ IS dipenjara seumur hidup 

Advertisement

Kotey, bekas rakyat Britain, mengaku bunuh empat tebusan AS di Syria 

 

WASHINGTON: Alexanda Kotey, sebahagian daripada kumpulan culik dan bunuh militan Daesh (IS) yang dikenali sebagai ‘Beatles’, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

Kotey, bekas rakyat Britain yang berusia 38 tahun, mengaku bersalah pada September, mengakui tanggungjawabnya ke atas kematian empat tebusan AS di Syria termasuk penculikan dan seksaan terhadap kira-kira 20 wartawan serta pekerja bantuan lain.

Dia ditangkap bersama dengan seorang lagi bekas ‘Beatle’ El Shafee Elsheikh oleh militia Kurdish di Syria pada Januari 2018 dan diserahkan kepada pasukan tentera AS di Iraq sebelum diterbangkan ke AS pada 2020 untuk dihadapkan dalam perbicaraan.

Kedua-dua lelaki itu kelmarin hadir di mahkamah di Alexandria, berhampiran Washington, di mana saudara-mara kepada mangsa mereka telah diberikan peluang untuk bercakap.

“Kamu menculik, menyeksa dan malah terlibat dalam pembunuhan orang yang baik yang tidak bersalah dan sekarang kamu terpaksa hidup dengan kenyataan itu sepanjang hayat kamu,” Bethany Haines, anak perempuan kepada salah seorang mangsa, memberitahu defendan.

“Kamu berdua telah kalah,” tambah wanita muda Britain itu, yang bapanya David Haines, seorang pekerja bantuan yang dipenggal kepalanya oleh anggota ‘Beatle’ ketiga, Mohammed Emwazi, yang terbunuh dalam serangan dron 2015. 

Gelaran itu diberikan oleh orang tebusan kepada penculik, yang membesar dan mengenali fahaman radikal di London, disebabkan oleh pelat British mereka.

Aktif di Syria dari 2012 hingga 2015, ‘Beatles’ didakwa menculik sekurang-kurangnya 27 wartawan dan pekerja bantuan lain dari AS, Britain, Eropah, New Zealand, Rusia dan Jepun.

Beberapa orang tebusan dibunuh, kematian mereka dirakamkan untuk video propaganda IS yang mengejutkan dunia, sementara segelintir lagi dibebaskan selepas wang tebusan dibayar. — AFP

Advertisement