Anda di sini

Kanak-kanak perempuan OKU rentung, kebakaran di Kampung Tanjung Hulu

Advertisement
Kejadian kebakaran rumah di Kampung Tanjung Hulu, Saratok yang telah meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan (gambar sisipan).
Kejadian kebakaran rumah di Kampung Tanjung Hulu, Saratok yang telah meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan (gambar sisipan).

SARATOK: Seorang kanak-kanak perempuan berkelainan upaya (OKU), berusia 12 tahun ditemui rentung, setelah rumah mereka di Kampung Tanjung Hulu, dekat sini, terbakar malam Sabtu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok, Muhd Shukur Jamaludin berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Aleeya Mat Ali.

"Ketika kejadian mangsa yang dikategorikan OKU lemah pembelajaran dilaporkan berada di bilik tidurnya yang terletak di tingkat atas rumah tersebut, manakala nenek, sepupu dan ibu saudaranya berada di tingkat bawah. 

"Sementara itu bapa mangsa, telah pergi ke luar rumah membeli barang keperluan kerana bekalan elektrik di rumah telah terputus sebelum kejadian tersebut berlaku.

"Mayat mangsa telah ditemui oleh anggota bomba ketika melakukan kerja-kerja pemadaman di ruangan bilik tidur," kata Muhd Shukur ketika dihubungi media, hari ini.

Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 8.18 malam.

Kebakaran berlaku begitu pantas kerana struktur rumah keluarga mangsa jenis dua tingkat kategori tidak kekal diperbuat daripada struktur kayu.

Menurut Muhd Shukur, sejurus ditemui, mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Pihak bomba telah mengambil masa dua jam untuk mengawal dan seterusnya memadam kebakaran tersebut.

"Punca dan jumlah kerugian yang ditamggung oleh mangsa masih lagi dalam siasatan," jelas Muhd Shukur lagi.
 

  • oleh
  • Advertisement