Anda di sini

‘Bersirat’, berkaki ayam ke Sabah

Advertisement
Sekumpulan orang asal Sarawak yang mengenakan pakaian tradisional ‘sirat’ merakamkan kenangan di Lapangan Terbang Miri sebelum bertolak ke Sabah pada petang Sabtu.
Sekumpulan orang asal Sarawak yang mengenakan pakaian tradisional ‘sirat’ merakamkan kenangan di Lapangan Terbang Miri sebelum bertolak ke Sabah pada petang Sabtu.

MIRI: Berhasrat untuk melakar sejarahnya tersendiri, sekumpulan orang asal Sarawak yang terdiri daripada 72 orang menaiki pesawat dengan memakai pakaian tradisional kaum Iban ‘sirat’ dan berkaki ayam ke Sabah pada petang Sabtu.

Ketua rombongan Peter John Jaban berkata, ia antara inisiatif sekumpulan terbabit untuk mempromosikan budaya orang asal Sarawak menerusi jelajah mereka ke Sabah bermula 30 April hingga 3 Mei ini.

“Enam puluh orang daripada kami mengenakan pakaian tradisional ‘sirat’ yang sinonim dengan masyarakat Iban di mana kami mahu membawa budaya asal ini untuk dilihat oleh masyarakat di Sabah.

“Bukan sahaja mahu mempromosikan Sarawak kepada masyarakat di Sabah, tetapi turut mahu melakar sejarah kami sendiri dengan berpakaian sebegini yang dilihat sebagai sesuatu yang kreatif,” ujarnya ketika ditemui.

Jelas Peter John, biarpun mengharungi pelbagai cabaran untuk merealisasikan jelajah berkenaan dengan berpakaian tradisional, namun beliau dan rombongannya amat berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan atas sokongan penuh dan galakan yang diberikan.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada kementerian terbabit yang telah menyokong untuk merealisasikan impian kami ini dan diharapkan sokongan berterusan memandangkan kami turut mempunyai impian besar pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Peter John lagi, kumpulan terbabit turut merancang untuk membawa lebih ramai masyarakat orang asal bagi tujuan yang sama di pelbagai lokasi di seluruh negara.

“Mungkin pada masa akan datang, kami mahu menjelajah ke Semenanjung Malaysia, selain turut merancang untuk membawa budaya orang asal ke negara luar seperti ke New Zealand pada tahun depan,” katanya.

Menjelas lanjut mengenai perjalanan berkenaan, Peter John memberitahu mereka akan disambut sekumpulan orang asal Sabah sebaik tiba Sabah dan terus bergerak ke Sabah Waterfront untuk mengadakan persembahan kebudayaan.

Mereka turut akan mengadakan lawatan ke Kampung Murut di Tenom pada 1 Mei, diikuti lawatan ke Batu Sumpah di Keningau, lawatan ke Tambunan pada keesokan harinya.

“Kami juga akan mengadakan demo membuat tatu, kraf tangan dan memasak masakan Sarawak di Monaruli Garden Resort di Penampang. Ini adalah antara aktiviti menarik yang akan kami lakukan,” katanya.

Tambah beliau, jelajah yang diadakan itu turut menjadi antara projek percubaan mereka dalam usaha mencatat rekod dalam Guinness World Record.
 

  • oleh
  • Advertisement