Anda di sini

Lelaki mengaku tidak bersalah cederakan individu bantu mangsa kemalangan di Jalan Astana

Advertisement
Tertuduh (kiri) diiring polis semasa berada di Mahkamah Kuching hari ini.
Tertuduh (kiri) diiring polis semasa berada di Mahkamah Kuching hari ini.

KUCHING: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan lelaki yang memberi bantuan kepada mangsa kemalangan maut di Jalan Astana baru-baru ini.

Tertuduh, Arman Salleh, 42, didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, lelaki bekerja sendiri itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa lelaki berusia 57 tahun menggunakan senjata yang mungkin menyebabkan kematian iaitu sebatang kayu rotan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Astana, Petra Jaya di sini, sekitar jam 7.50 pagi pada 20 April lalu.

Difahamkan, punca kejadian disebabkan oleh salah faham. 

Dalam pada itu, Hakim Maris Agan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 tunai dengan seorang penjamin tempatan serta menetapkan 30 Mei depan sebagai pengurusan kes. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tan Chuan Yi sementara tertuduh diwakili peguam Grace Ling. 

Menurut laporan terdahulu, telah tular satu video berdurasi 20 saat yang dimuat naik ke media sosial memaparkan seorang lelaki cedera akibat dipukul pada 20 April lalu.

Lokasi kejadian merupakan kawasan kemalangan maut melibatkan sebuah lori dengan sebuah motosikal.

Dalam kemalangan tersebut, mangsa cuba memberi bantuan kecemasan awal kepada penunggang motosikal.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan telah disalah anggap oleh tertuduh sebagai pemandu lori terbabit. Tertuduh seterusnya memukul mangsa menggunakan sebatang kayu rotan.

Sehubungan itu, keluarga mangsa membuat laporan polis berikutan mangsa dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Tertuduh kemudiannya ditangkap sekitar jam 11.30 pagi pada 21 April. 
 

  • oleh
  • Advertisement