Anda di sini

Kolaboratif Sarawak Skill dan MTDC bantu syarikat mengadaptasi teknologi IR 4.0

Advertisement
Sagah (tiga kiri) menyaksikan Hallman bertukar dokumen MoU dengan Ketua Pegawai Eksekutif Akar Indah Engineering Sdn Bhd Rohana Rahmat. Turut kelihatan Norhalim (empat kiri). - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
Sagah (tiga kiri) menyaksikan Hallman bertukar dokumen MoU dengan Ketua Pegawai Eksekutif Akar Indah Engineering Sdn Bhd Rohana Rahmat. Turut kelihatan Norhalim (empat kiri). - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Kolaboratif antara Sarawak Skill dan enam syarikat di bawah Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) akan membantu mempercepatkan syarikat tempatan mengadaptasi teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0)
 
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata kerja sama itu merupakan inisiatif bersama mewujudkan komuniti tenaga kerja IR 4.0 di Sarawak menerusi pemahiran semula dan peningkatan kemahiran ditawarkan.

"Kolaboratif ini akan mempercepatkan syarikat-syarikat pengeluaran khasnya di  Sarawak mengadaptasi teknologi IR 4.0 dan menawarkan pelbagai penyelesaian industri 4.0 sesuai dengan industri di seluruh negeri.

"Ini akan meningkatkan pengeluaran, produktiviti dan kecekapan operasi industri menerusi pemahiran semula dan peningkatan kemahiran bakat-bakat Sarawak dalam sembilan tonggak industri 4.0," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sarawak Skill dan enam syarikat di Bawah MTDC di sini hari ini.

Enam syarikat berkenaan ialah Akar Indah Engineering Sdn Bhd, Tech Capital Resourses Sdn Bhd, 3D Gens Sdn Bhd, Ideasparq Robotics Sdn Bhd, Innoveam Sdn Bhd dan MOVE Robotics Sdn Bhd.

Sagah berkata kolaboratif itu juga memberi peluang kepada organisasi-organisasi terlibat melaksanakan pelbagai aktiviti bersama seperti penyelidikan, latihan dan perkongsian pengetahuan dalam bidang-bidang seperti automasi serta digital.

"Sarawak perlu memahirkan semula dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja sedia ada kerana apa jua kemahiran dikuasai sebelum ini mungkin tidak lagi sesuai sekarang. Ia perlu dipertingkatkan sesuai dengan keperluan semasa," ujarnya.

"Harapan saya sudah tentunya tinggi (daripada kolaboratif ini). Saya percaya kalau kita serius dan berusaha mencapainya kita dapat mempunyai tenaga kerja yang mempunyai piawaian tinggi," katanya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu Sagah berkata mencipta penyelesaian untuk pelbagai industri di Sarawak sangat penting dalam menyokong industri teras di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030).

Ini terutama katanya dalam bidang mempercepat pengadaptasian digital dan penggunaan data untuk menjana pendapatan.

"Saya yakin pengaturan strategi-strategi antara Sarawak Skill dan enam syarikat di bawah MTDC Co9P akan membuka laluan kepada strategi-strategi penting bagi mempercepatkan adaptasi insiatif transformasi digital oleh industri-industri di Sarawak.

"Sekali lagi saya katakana kolaboratif ini merupakan langkah besar dan tepat bagi menyokong inisiatif-inisiatif Sarawak menjadi negeri maju berpendapatan tinggi pada 2030," katanya.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Sarawak Skill Hallman Sabri, Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Dato' Norhalim Yunus dan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan  Pembangunan Bakat Datu Kamri Efendi.

Advertisement