Anda di sini

Antara Buih Berkrim dan Isi Bergizi

Advertisement
 


Oleh Roslan Jomel

JIKA anda berada di dalam sebuah pusat membeli-belah pada hujung minggu yang meriah, muncul seorang berpakaian selekeh, tanpa memperkenalkan diri, bertanya kepada anda, “Apa itu seni?”. Individu yang menunggu jawaban daripada anda, mengeluarkan sebuah buku dari dalam beg sandangnya. Rupa-rupanya sebuah buku kumpulan sajak karya penyair generasi muda yang namanya disebut-sebut sebagai “pembawa gelombang baharu” sastera mutakhir. Individu tersebut, kita anggap sahaja seorang lelaki dan namanya Ismail, meminati karya kreatif dan penuh keghairahan ingin menerbitkan tulisannya nanti dalam bentuk buku. Ismail pun menunjukkan manuskrip kumpulan sajaknya di atas bangku tempat anda duduk. Dia bercadang untuk menjual kumpulan sajak sulungnya secara dalam talian di media sosial. Tidak sabar rasanya Ismail dijunjung sebagai penyair jempolan.
    Besarlah harapan Ismail untuk memahami takrifan seni daripada anda kerana kemudiannya nanti lelaki berpakaian selekeh itu akan mula serius menghasilkan karya. Siapa tahu, dia berdiri dengan berbaju batik di sebelah menteri atas pentas nanti. Melihat aliran semasa dalam bidang penulisan kreatif dan munculnya rumah-rumah penerbitan yang kecil dan mandiri, Ismail menyedari bahawa dia tidak perlu lagi menunggu terlalu lama tatkala manuskripnya dinilai oleh editor-editor bertauliah. Sungguh banyak kerenah dan birokrasi yang menjengkelkan harapan penulis muda seperti dirinya. Sekarang segala-galanya lebih bebas dan era sasterawan lama telah berlalu. Pertama kali, bakal penyair tersebut wajib memiliki modal untuk menerbitkan manuskripnya sendiri. Apalah ertinya seorang karyawan tanpa sebuah buku. Langkahnya semakin dipermudahkan untuk melayakkan diri sebagai seorang penulis. Namun, apakah yang dikarangkan oleh Ismail, kelihatannya manuskrip yang ditunjukkan oleh lelaki itu tampak tebal, benar-benar wajar dinilai sebagai karya sastera? Anda menggaru-garu kepala, mengerutkan dahi, setelah membaca sekali imbas beberapa buah sajaknya. Adakah tulisan-tulisannya bernilai sastera?
    Apakah perlu anda syorkan kepada Ismail untuk membaca buku-buku teori sastera dari dalam dan luar negara? Konon ia menjadi syarat khusus untuk berkecimpung dalam kesusasteraan. Agar pengetahuan daripada pembacaan buku-buku teori sastera akan memperdalam ilmu kesenian dalam dirinya. Sekurang-kurangnya, sebagai bakal penulis, Ismail mengenali pelbagai teori sastera yang sedang diaplikasikan oleh beberapa orang pengkritik sastera dan selebihnya hanya tersimpan di atas halaman buku sahaja. Daripada psikoanalisis klasik hinggalah kepada pensejarahan baharu. Namun tidak semua penulis berminat untuk membaca buku-buku berkaitan dengan teori yang kedengarannya aneh dan, aspek itu bukan keutamaan pengkarya kreatif. Tambahan pula, kritikan sastera di tanah air bagaikan hidup segan, mati tidak mahu. Dahulu pengarang naskhah menanti-nantikan sentuhan pengkritik berkaliber. Sekarang, sastera dan kritikan berjalan tetapi tidak semesra dulu.    
    Bagi Ismail, menulis hanyalah menulis, urusan kesenian ialah soal cita rasa. Tiada sesiapa yang boleh menetapkan bahawa penulisan harus begitu dan begini. Ia bukan bidang kejuruteraan atau mekanikal. Tiada sesiapa yang boleh menjadi penjaga sastera dan menggurui para penulis lainnya. Pengarang lama tidak semestinya hebat. Pengarang arus utama juga semakin lama semakin seragam pengucapan mereka. Malahan, menurut Agus Noor, Budi Darma, sasterawan besar Indonesia sendiri tidak pernah menegaskan bahawa dirinya sasterawan yang arif tentang sastera (sumber – Jawa Pos, 22 Ogos 2021, Budi Darma Begawan Sastra Yang Tak Suka Menggurui.) Maka, lelaki ingin digelar penyajak generasi baharu itu mahukan pengucapan berbeza, ekspresi yang berlainan dan bebas sesuai dengan jiwa kesenimanannya. Bagi Ismail, seni di negaranya telah lama diinstitusikan atau dijadikan wahana propaganda dan itulah yang menyebabkan kandungan karya-karya tampak membosankan. 
    “Seni merupakan salah satu dari dua organ perkembangan manusia. Melalui kata-kata manusia bertukar fikiran, melalui berbagai bentuk seni mereka bertukar perasaan, dan hal ini terjadi pada setiap manusia, bukan hanya pada zaman sekarang, tetapi juga di masa lalu dan di masa depan.” – Dipetik dari halaman 225, buku karya Leo Tolstoy, Apakah Seni Itu?, terbitan BASABASI, 2020. Terjemahan bahasa Indonesia itu daripada versi Bahasa Inggeris What Is Art?, terbitan Hackett Publishing, 1996. Demikian Leo Tolstoy menjelaskan secara kasar, apa itu seni dan kepentingannya dalam ketamadunan dan sahsiah manusia. Pendek kata, seni bersebati dalam gerak-geri dan tingkah laku kehidupan setiap manusia, secara sedar atau tidak. Tanpa cita rasa yang tinggi seni dan sofistikated, bagaimanakah mungkin seseorang mengukur kehalusan hasil pekerjaan daripada tukang kayu bertahap amatur?
    Apakah fungsi seni semurni demikian? Menyampaikan sesuatu kisah yang disaluti bahasa indah dan mesej kebaikan semata-mata? Sedangkan kenyataan hidup tidaklah selunak begitu. Adakah sesiapa sahaja berkeupayaan menghasilkan karya-karya hebat, melangkaui takrifan seni dan estetika? Adakah karya seni wajib bersifat serius, elit dan esoterik? Zaman materialistik telah merenyuk objektif kesenian yang selama ini disanjung tinggi. Realitinya, sungguh sukar untuk menemui karya yang benar-benar meningkatkan kepiawaian standardnya dalam beberapa sudut. Sebaliknya, semakin ramai pengarang yang muncul, berkarya dan menerbitkan buku demi buku, tetapi tidak melonjakkan darjah sastera. Kononnya inginkan kebebasan berekspresi. Tetapi tenggelam dalam kekaburan. Manakala, ada segelintir pengarang diperkuda (dibayar lumayan) oleh pihak-pihak tertentu demi mengangkat citra mereka di mata masyarakat. Hal begitu telah lama mengganggu fikiran Ismail. 
    Keindahan ialah sesuatu yang mistik atau metafizik, atau semacam kesenangan khusus. Ismail atau mungkin beberapa orang penyair muda baharu di luar sana, tentu tidak ingin mengambil tahu apa yang dianggap sebagai keindahan mujarad itu. Seni adalah subjektif, kata-kata yang sangat popular didengar. Namun siapakah seniman yang mampu menghasilkan karya-karya agung yang tanpa secebis pun pengetahuan asas tentang seni? Adakah ia anugerah daripada Tuhan? Apakah elemen-elemen pembeza karya agung dan palsu di mata pengkritik zaman sekarang? Adakah berdasarkan hadiah kemenangan yang diraih tahun demi tahun? Leo Tolstoy menyedarkan sebahagian penulis akan bahayanya, (halaman 225), “Penyebaran karya seni imitasi dalam jumlah sedemikian besar pada masyarakat kita yang hanya membuai dan merosak orang-orang, serta karya remeh-temeh dan eksklusif, yang secara keliru dianggap sebagai karya seni bernilai luhur, telah menyelewengkan kapasiti manusia untuk tergugah oleh karya-karya seni yang sesungguhnya...”. 
    Apa yang dinyatakan oleh pujangga besar itu memang benar-benar berlaku sehingga ke hari ini. Karya-karya seni tulen dan palsu, telah bercampur baur kerana perlakuan orang-orang yang terlibat dalam bidang itu sendiri. Penulis hanya mahukan karya mereka segera dicetak dan diedarkan kepada masyarakat. Penerbit yang lebih mementingkan perniagaan tidak akan berfikir tentang tahap estetika sesebuah manuskrip. Tiada standard khas untuk menentukan manakah karya yang layak diterbitkan dan tulisan separuh matang. Yang dibayangkan oleh penerbit sedemikian hanyalah keuntungan dan kecenderungan untuk memeriahkan dunia penulisan semasa. Tambahan pula, sesiapa sahaja yang memiliki wang dan syarikat penerbitan, urusan menjadi lebih cepat. Manuskrip-manuskrip tidak berkualiti bakal dipasarkan untuk khalayak. Maka, apa yang telah berlaku dahulu, masih sahaja diulang pada masa kini atas nama “kreativiti”. Akhirnya masyarakat sudah tidak lagi jeli membezakan karya-karya yang bermutu dan luahan perasaan semata-mata. Sedangkan gelang emas yang dijual pun disalut dengan besi. 
    Dalam sebuah wawancara sastera yang tersiar dalam akhbar Berita Harian (bertarikh 14 Feruari 2004), penyair Rosli K. Matari memperingatkan “Jangan longgokkan sampah dalam karya sastera.” Sampah. Bunyinya memang agak kasar dan menyeramkan. Tetapi itulah perspektif jujur yang disuarakan oleh penyair berpengalaman itu. Secara etika dan moral, tidak mungkin para pengkarya berniat untuk menghasilkan bahan-bahan setahap sampah dalam kesusasteraan. Juga, tidak semua yang berkebolehan menghasilkan karya-karya tanpa sebarang kelemahan, termasuk sasterawan veteran. Sebagai penyair berpengalaman yang halus pertukangannya, saya telah menghubungi Rosli K. Matari untuk meminta pandangannya berhubung senario sastera genre sajak mutakhir yang konon dimeriahkan oleh penulis-penulis muda “pembawa gelombang baharu” sastera kontemporari. 
    Sajak-sajak eksperimental, kabur atau yang dianggap menyuntik kelainan dalam pengucapan dalam negara kita bukan gejala baharu. Kewujudannya sudah lama. Berhubung perkara itu, Rosli K. Matari mengatakan bahawa ada tiga aspek yang memungkinkan kecenderungan beberapa orang penyajak untuk menulis dengan gaya kabur atau pelik itu agar mengundang perhatian dari sudut estetikanya. Aspek pertama, lazimnya penyair yang tidak berkebolehan tinggi akan mengucapkan sajak dalam ungkapan kabur. Kekaburan ini biasanya mengandungi beberapa kelemahan pemikiran, diksi, kontradik dan imej yang bercampur. Aspek kedua, penyair yang berkebolehan tinggi dapat memanfaatkan unsur kekaburan sebagai elemen pemikiran tersembunyi. Namun, aspek kedua itu akan menjurus pula pada dua aspek: A, mampu menjadikan sajak sebagai karya berseni. B, tidak mampu difahami pembaca, dan tujuan sajak untuk berkomunikasi dan menyampaikan mesej kepada pembaca tidak kesampaian, maka, sajak itu tidak mendatangkan faedah. Aspek ketiga, sajak selalu wujud disebabkan faktor sebagaimana yang dinyatakan pada aspek pertama dan sesetengah penyajak memang berminat pada kecenderungan mencipta sajak kabur sebagai identiti dirinya.
    Rosli K. Matari memiliki autoriti untuk berpandangan sedemikian berdasarkan merit kelayakan dan kebolehannya yang diperakui sebagai antara penyair terbaik negara dan Asia. Renungilah respons beliau agar bidang sastera yang sepatutnya menjadi pelantar untuk menampung ketinggian mutu khazanah pemikiran dan kehebatan akal serta imaginasi tetap terpelihara. Bayangkan apakah yang bakal terjadi kepada kesusasteraan negara jika sampah semakin lama semakin banyak dilonggokkan? Namun, adakah karya-karya yang dianggap sampah tidak bermanfaat sama sekali? Bagaimanakah hendak menilai sesebuah karya itu dianggap sampah? Tidak semua penyajak memiliki indera yang halus dan percitraan yang indah seperti yang dilakukan oleh Latiff Mohidin. Kebolehan ini memerlukan ilmu, kematangan, keupayaan intelektual dan kesenian serta dipupuk oleh pengalaman kedewasaan. Ada yang cuba untuk mencontohi kerja kepenyairannya, tetapi terbenam dalam kesesatan kata-kata mereka sendiri. Adakah wabah ini yang kita mahukan daripada pengkarya-pengkarya generasi baharu?
    Kesemua persoalan ini bukan bermaksud menghalang sesiapa untuk menceburi bidang penulisan. Sastera tidak pernah menggariskan sempadan. Tetapi, sebagaimana bidang lain, ada beberapa keahlian dan kepakaran yang diperlukan untuk memasuki sesuatu bidang pekerjaan. Dalam bidang ini, berilmu dan bijak berimaginasi, sudah semestinya. Malahan Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh pernah menekankan bahawa pengucapan sastera sebenarnya sesuatu yang sederhana tetapi berlapisan maknanya (boleh rujuk melalui saluran YouTube dengan tajuk Menyingkap Definisi Sastera). Lapisan itulah yang menambah nilai kehebatan sesebuah karya. Karya besar ialah idea yang besar (bukan rumit untuk dibaca), terperinci dan baharu dari sudut pandangan. Sebuah naskhah hebat tidak semestinya popular dan sensasi penulisannya. Bahkan karya yang hebat itu ialah karya yang mudah dibaca oleh sesiapa sahaja. Misalnya novel The Outsider, karangan Albert Camus. Naskhahnya nipis, mudah pengucapannya, tetapi mendalam pula akar tema masalah kehidupan yang diungkapkan melalui watak utamanya. Tidak semua yang mampu melakukannya dengan tangan kosong.

 

    Namun sekarang, peminat kesusasteraan terpaksa hidup dengan menghirup sisa buangan yang dilemparkan dari semasa ke semasa. Kesenian mengisahkan cerita sudah semakin langka ditemu. Kesenian menghasilkan sajak yang bermakna tinggi tetapi harmoni pengucapannya juga sudah semakin payah diperoleh di pelbagai media massa, sementelah kata-kata besar yang digunakan oleh pengkarya sebenarnya tidak mendatangkan makna apa-apa, malahan hanya mengelirukan arah dan maksud yang ingin disampaikan oleh pengkarya itu sendiri. Bagaimanakah hendak mempertimbangkan karya-karya yang hanya disiapkan dalam masa sehari tanpa perlu disunting dan diperkuatkan lagi? Lebih malang, andai karya itu dihasilkan oleh penulis yang sudah lama terlibat dalam bidang persuratan. Sastera semakin lama semakin disamakan dengan industri hiburan. Dibuat dengan segera dan tiada unsur pemikiran.
    Idea esei ini dicetuskan ketika saya membaca sebuah tulisan Puisi untuk Antologi Perlu Bermutu (Sama Ada Berbayar atau Sebaliknya) hasil penulisan Raja Yusoff Ariffin bertarikh 10 Februari 2022. Tulisan itu boleh dibaca dalam laman web JendelaDBP. Bahagian asas sastera kita yang berisi muatan ilmu, pemikiran, falsafah dan ucapan yang boleh diikuti, telah retak. Yang kini tinggal sekadar aksesori indah, syok sendiri, cacamerba dan tipis pula amanatnya. Harapan kita daripada pengkarya generasi baharu untuk mengubah perspektif dalam kesusasteraan nampaknya belum kesampaian. Standard penulisan kita masih statik kerana lebih ghairah untuk tampil membawa kelainan yang difikirkan berperspektif baharu. Lalu, laman sastera negara kita dilimpahi karya-karya entah apa-apa. Sebagaimana menurut kenyataan Budi Darma dalam buku Solilokui (dipetik dari halaman 102),
Kekalutan dalam sastera Indonesia antara lain terjadi kerana banyak tulisan dalam sastera yang sebetulnya tidak dimasukkan ke dalam sastera Indonesia. Ada yang seharusnya masuk ke dalam kotak sastera remaja, atau hiburan, atau picisan, atau entah ke mana lagi. Dan yang paling buruk adalah karya-karya yang sebetulnya tidak dapat dimasukkan ke mana-mana, yang kerana keadaan-keadaan tertentu terpaksa dianggap masuk ke dalam kotak sastera. Bila sebuah tulisan masuk ke kotaknya yang tepat, secara mudah dapatlah kita katakan bahawa tulisan ini akan mengalami nasib yang baik. Dia akan mendapat pembaca yang tepat. Dan sebuah tulisan dapat masuk ke kotak yang tepat apabila pengarangnya mempunyai keahlian yang tepat. Tapi ini secara mudah, sebab kenyataannya tidak selalu demikian: karya sastera yang baik belum tentu dibaca, terutama kalau masyarakat sasteranya bodoh. Konsep mereka mengenai sastera sangat tumpul, dan dengan demikian mereka hanya mampu menyerap karya-karya sastera yang sebenarnya buruk.” 
    
Lebih awal daripada itu ialah perbincangan saya dengan Abizai sewaktu berjumpa dengan beliau di Kuala Lumpur. Sebagai penulis yang tidak lagi dalam kategori “muda,” kami khuatir melihat fenomena sastera kebangsaan yang sudah jauh meleset daripada pedoman asalnya. Ramai yang obsesif untuk berkarya. Sebagai misal, baru setahun melibatkan diri dalam bidang penulisan tetapi sudah menerbitkan sepuluh buku. Membelokkan kata-kata dan menerbangkan diksi sehingga perbatasan kebiasaan tanpa asas ilmu kesenian. Lebih dalam daripada persoalan itu, mengapa seseorang itu menulis, apakah sebab dan ke mana akhirnya pergi sesebuah karya yang dihasilkan? Adakah untuk ganjaran material sahaja? Penulis muda tidak mahu digurui dan menolak untuk berada di bawah bayang-bayang sasterawan lain. Itu semangat yang menjadi lumrah kepada mereka yang masih berdarah panas. Namun bagaimana pula dengan segelintir pengarang berpengalaman yang masih juga belum dewasa, sama ada dari aspek karakter, mentaliti, pemikiran dan pengkaryaan?
    Jika berada dalam pusat membeli-belah yang ramai pengunjung pada hujung minggu, muncul seorang bakal penyajak bertanyakan takrifan seni, sudah bersediakah anda dengan jawapan? Bahawa sastera harus begitu dan begini. Entahlah, apa yang ingin dikejar bakal penulis dalam bidang kesusasteraan yang semakin senget ke lembah gelap kini. Dikenali sebagai penyajak tidak menjadikan seseorang itu hebat, menarik, luar biasa dan berpengaruh dalam masyarakat sekarang. Belum pernah didengar bahawa pengarang yang hebat mampu mengapungkan diri dengan kuasa kesusasteraannya. Yang kerap didengar ialah pengarang ingin diiktiraf sebagai sasterawan hebat walaupun mutu karyanya dipersoalkan. Acara-acara sastera hanya diraikan oleh penggiat-penggiat seni yang sudah familiar dengan sesama mereka. Karya-karya yang muncul saban tahun juga bagaikan hilang sifat keasliannya kerana segelintir pengarang menulis dengan objektif untuk meraih anugerah sayembara. 
    Apakah yang hendak kita hidangkan kepada pembaca sastera? Ayam goreng atau bunga plastik? Buih berkrim yang lazat tetapi tidak berkhasiat? Atau karya bergizi yang memandaikan pembaca? Terpulanglah kepada anda selaku pengarang naskhah kreatif. Naskhah yang bagus, tetap ada pembaca walaupun sedikit jumlahnya. Demikian juga karya yang sekadar memenuhi masa senggang, masih ada penggemarnya. Tiada sesiapa yang berhak memaksa jenis pembacaan, kerana itu pilihan masing-masing, berdasarkan keperluan intelektual dan naluri. Bakal penulis seperti Ismail bukan berjumlah seorang di luar sana. Ramai. Berkeliaran dengan sebatang pensel tumpul dengan fikiran sebesar butir beras. Bagi Ismail, dia tidak mahu dibebani dengan masalah kualiti dalam urusan kepengarangannya. Sebab, dia gagal untuk membezakan, yang mana sampah, palsu dan bermutu di tengah lautan keruh karya sastera yang terbentang luas pada pandangannya. Dia hanya perlu rajin menulis dan menulis setiap hari. Terbit buku dan jual. Itu sahaja rutin yang perlu dilakukannya. Andai karya menghasilkan permata, ia suatu kebetulan, namun jika karya yang dikarangnya umpama barang buangan, masih boleh dipasarkan.

 
 
Advertisement