Anda di sini

Tiga lelaki ditangkap berhubung kebakaran berulang sebuah rumah di Satok

Advertisement
 

KUCHING: Tiga lelaki diberkas polis kerana disyaki terlibat perbuatan khianat dengan api melibatkan sebuah rumah di Satok.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, ketiga-tiga suspek berusia 19, 20 dan 32 tahun ditangkap dalam dua operasi berasingan iaitu pada 19 dan 20 April.

Menurutnya, tangkapan dibuat berhubung laporan polis mengenai kebakaran berulang sebanyak lima kali ke atas sebuah rumah di Jalan Satok.

"Satu pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat kes ini dan hasilnya pada 19 April, dua suspek ditangkap di Jalan Muda Hashim.

"Pada 20 April, seorang lagi suspek ditangkap di Jalan Satok dan kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Kesemua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

"Justeru, kita nasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan siasatan menyeluruh sedang dijalankan," katanya.
 

Advertisement