Anda di sini

RWMF, Borneo Jazz tarik semula kehadiran peminat muzik seluruh dunia ke Sarawak 

Advertisement

MIRI: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak optimis bahawa penganjuran semula festival muzik, Rainforest World Muzik Festival (RWMF) di Kuching dan Borneo Jazz di Miri pada bulan Jun tahun ini akan menarik semula kehadiran peminat muzik dari seluruh dunia untuk berkunjung ke negeri ini. 

Menterinya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yakin dengan promosi agresif oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), peminat muzik yang menantikan konsert bersemuka, sama ada dalam atau luar negara, akan datang ke Sarawak, khususnya peminat muzik jaz akan kembali semula ke Miri. 

"Kita berharap ketika itu nanti sempadan negara Brunei (Darussalam) sudah dibuka dan peminat muzik jaz dari Brunei termasuk luar negara (yang datang menerusi Brunei) akan datang semula ke Miri," katanya. 

Bercakap pada sidang media selepas melancarkan Borneo Jazz 2022, yang diadakan di Bilik VIP Lapangan Terbang Miri di sini pada Rabu, Abdul Karim juga yakin STB akan mampu mencapai sasaran kehadiran fizikal yang ditetapkan iaitu 1,000 orang pada setiap malam, seiring pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan negeri.  

Turut hadir pada majlis yang sama ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I Datuk Sebastian Ting dan ADUN Telang Usan yang juga Pengerusi STB Dennis Ngau.  

Abdul Karim (empat kiri) bersama Ting (dua kanan), Sharzede (kiri sekali), Dennis (dua kiri) dan Kapten Nasaruddin (tiga kiri) semasa melancarkan BJ 2022 di Miri. 
Abdul Karim (empat kiri) bersama Ting (dua kanan), Sharzede (kiri sekali), Dennis (dua kiri) dan Kapten Nasaruddin (tiga kiri) semasa melancarkan BJ 2022 di Miri. 

Borneo Jazz (BJ) 2022 yang bertemakan 'Jazz in the Jungle' kembali ke semula diadakan di Miri pada 24 hingga 26 Jun 2022 di Coco Cabana, Miri, selepas ditangguhkan kerana pandemik COVID-19 dan pada tahun lepas, BJ 2021 telah diadakan secara visual. 

Seiring SOP yang menetapkan 1,000 penonton pada setiap malam, maka tiket-tiket ke konsert ini juga dihadkan kepada 3,000 sahaja untuk tiga malam berturut-turut (1,000 penonton setiap malam, bermula 24 hingga 26 Jun). 

Abdul Karim memberitahu untuk konsert BJ 2021 yang diadakan secara visual atau maya selama tiga malam berturut-turut, ia berjaya menarik 244,637 penonton daripada 43 negara. 

"Tahun ini, dengan promosi agresif, kita berharap lebih ramai penonton khususnya dari seluruh dunia menonton kedua-dua konsert ini secara visual dan dari lebih banyak negara," jelasnya. 

Pada sidang media yang sama juga, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) STB Sharzede Datu Salleh Askor memberitahu, selepas dua jam RWMF dilancarkan, pihaknya sudah menerima lebih 200 tempahan tiket dan sehingga petang tadi, tempahan meningkat hampir 500. 

"Orang ramai seperti tidak sabar untuk menunggu menyaksikan konsert muzik secara fizikal dan STB akan terus melakukan promosi (bagi kedua-dua RWMF dan BJ 2022) dan insya-Allah saya rasa kita boleh mencapai sasaran 3,000 orang kelak (sepanjang tiga hari, masing-masing kedua-dua acara itu berlangsung kelak)," katanya. 

Tempahan tiket bagi menyasikan BJ 2022 ini kelak boleh dibuat secara dalam talian di jazzborneo.com, mulai semalam.  

BJ 2022 yang juga edisi ke-17 kali ini bakal menyaksikan persembahan daripada pemuzi jaz dari Amerika Syarikat (AS), Hungary, Singapura, Perancis, selain pemuzik jaz Malaysia dan banyak lagi yang melibatkan seramai 60 pemuzik. 

Serentak dengan pelancaran BJ 2022 itu juga, syarikat penerbangan MASwings turut melancarkan kempen Pelancongan Sarawak ‘More to Discover’.

"Melalui pelancaran kempen Pelancongan Sarawak ‘More to Discover’ pada turboprops kami, kami yakin ia akan membantu memenuhi agenda kerajaan untuk merangsang pertumbuhan dalam lawatan pelancong melalui pelancongan ke negeri ini,” kata Ketua Pegawai Operasi MASwing, Kapten Nasaruddin A. Bakar, yang hadir mewakili Malaysia Aviation Group.

Advertisement