Anda di sini

Ramadan 2022 membawa sinar harapan

Advertisement
 

RAMADAN tahun ini bukan sahaja dirai kerana tibanya bulan puasa yang penuh kemuliaan dan rahmat bagi umat Islam, tetapi ia juga mengembalikan norma kebiasaan rakyat yang sebelum ini dilarang berikutan pandemik COVID-19.

Seiring dengan peralihan ke fasa endemik COVID-19, kerajaan khususnya di Sabah memutuskan beberapa kelonggaran dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang pastinya membawa kegembiraan kepada rakyat terutama masyarakat Islam.

Dua tahun lepas, bagaikan satu mimpi buruk apabila dikenang bagaimana Ramadan diraikan seterusnya menyambut Syawal dalam suasana pandemik COVID-19.

Anak yang jauh di perantauan terpaksa menanggung beratnya bebanan rindu mengenang suasana berbuka puasa sekeluarga dengan hasil masakan air tangan ibu tercinta.

Masjid dan surau yang selama ini menjadi halaman kemeriahan umat Islam dalam mengimarahkan Ramadan, menjadi sepi tanpa kepadatan ahli jemaah mengerjakan solat Tarawih.

Begitu juga keriuhan di tapak bazar Ramadan yang menjadi rutin tumpuan pengunjung mencari aneka juadah berbuka puasa hanya lengang tanpa suara peniaga berteriakan mempromosi jualan masing-masing.

Alhamdulillah, tahun ini kita diberi peluang untuk kembali menikmati rutin kebiasaan pada bulan Ramadan biarpun masih dalam tempoh peralihan kepada endemik COVID-19.

Keputusan kerajaan untuk memberi kebenaran merapatkan sejadah tanpa penjarakan untuk solat berjemaah di masjid bermula 1 April lepas antara berita gembira yang paling dinantikan oleh umat Islam.

Begitu juga beberapa kelonggaran SOP lain yang dibenarkan sepanjang Ramadan ini yang memberi makna begitu besar kepada segenap rakyat di negeri ini.

Banyak pengajaran dan nilai kehidupan yang dapat dipelajari sepanjang dua tahun ini dalam usaha membanteras penularan COVID-19.

Angkara COVID-19, ada anak yang kehilangan ibu bapa tercinta, ada ketua keluarga yang hilang punca pendapatan malah, ada yang terpaksa menanggung sakit berpanjangan.

Namun, COVID-19 juga membawa sisi gembira lain kepada segelintir insan. Justeru, tidak salah untuk terus meletakkan harapan supaya diberi peluang menikmati kehidupan yang lebih baik biarpun selepas diuji dengan dugaan berat sepanjang pandemik COVID-19.

Mudahan Ramadan tahun ini menjadi permulaan yang lebih baik kepada rakyat untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa dan mengambil iktibar dari keadaan yang sulit sepanjang pandemik  COVID-19.

Bagi umat Islam yang menjalani ibadah puasa dan kewajipan lain sepanjang Ramadan ini, semoga amal ibadat kita diterima dan beroleh pahala besar seterusnya diberikan rezeki untuk bertemu Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi.
 

  • oleh
  • Advertisement