Anda di sini

MTIB komited teruskan agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera dalam industri perkayuan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) komited meneruskan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera sebagai misi nasionalnya dalam usaha berterusan membangunkan industri perkayuan di negara ini.

MTIB dalam satu kenyataan hari ini berkata ia sentiasa proaktif melaksanakan pelbagai aktiviti bagi mengukuhkan kedudukan usahawan Bumiputera agar mampu bersaing dan kompetitif di pasaran tempatan mahupun di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, pada 15 April, satu sesi Dialog Ketua Pengarah MTIB dengan Usahawan Bumiputera Tahun 2022 telah diadakan di Tawau, Sabah untuk menerangkan mengenai pelbagai program yang dapat memberi manfaat kepada usahawan Bumiputera.

Menurut MITB, objektif program tersebut adalah untuk membantu usahawan Bumiputera dalam meningkatkan kapasiti pengeluaran produk di kilang yang menjurus kepada peningkatan prestasi jualan tahunan.

“Program ini telahpun dijalankan sejak tahun 2015 dan sehingga kini sebanyak 121 usahawan Bumiputera telah mendapat manfaat daripada program ini.

“Antara mesin kerja kayu berteknologi tinggi yang diberi pinjam adalah CNC 3 Axis, CNC Boring, Automatic Edge Bander dan Panel Saw Optimiser,” katanya.

Selain itu, MTIB juga turut menyediakan Program Sokongan Bahan Mentah sebagai pinjaman tanpa faedah bagi membolehkan usahawan Bumiputera membuat perolehan bahan mentah kayu dalam pembuatan perabot dan produk bernilai tambah tinggi.

“Pembiayaan ini diberikan kepada usahawan Bumiputera yang mempunyai kontrak kerja yang telah dimuktamadkan dan masih berkuat kuasa,” katanya.

Pada 2021, industri perkayuan di Sabah menyumbang nilai eksport sebanyak RM1.1 bilion atau lima peratus iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding 2020, walaupun dunia pada ketika ini masih mengalami penularan pandemik COVID-19. 

Manakala daripada jumlah keseluruhan nilai eksport itu, sumbangan usahawan Bumiputera adalah sebanyak satu peratus.

Di Sabah, terdapat kira-kira 100 usahawan Bumiputera yang menjalankan aktiviti berasaskan kayu. - BERNAMA

Advertisement