Anda di sini

Penduduk dakwa bukan semua kayu belian digunakan untuk jeti Kampung Mutap

Advertisement

BEKENU: Rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Bidalan yang paling tepat untuk menggambarkan jeti kayu Kampung Mutap yang tular di media sosial baru-baru ini kerana netizen mempersoalkan kos pembinaannya RM50,000.00.

Kos pembinaan jeti tersebut bukan hanya menimbulkan persoalan kepada netizen di media sosial sehigga menjadi tular di seluruh negara, malah penduduk kampung sendiri mengakui masih terkejut dengan kos sebenar pembinaan jeti tersebut.

Seorang penduduk kampung, Mohamad Nor Tambi, 45, yang rumahnya berdekatan jeti itu berkata, mereka tidak mengetahui kos pembinaan itu sehinggalah membaca hantaran Komunikasi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menerusi Facebook pada 6 April lalu.

Sehingga ke hari ini beliau masih tidak mempercayai jeti di hadapan rumahnya itu menelan kos sebanyak itu.

“Jangankan netizen, saya sendiri pun mempersoalkan kos jeti ini. Pada mulanya saya tidak tahu mengapa jeti ini menjadi isu panas dan tular. Sehinggalah saya membaca di media sosial kos pembinaan berjumlah RM50,000. Saya berpendapat ia tidak menjadi isu sekiranya kos hanya RM30,000 berdasarkan (struktur) jeti yang sudah siap,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo hari ini.

Mohamad Nor Tambi menunjukkan jeti dari beranda rumahnya.
Mohamad Nor Tambi menunjukkan jeti dari beranda rumahnya.

Mohamad Nor berkata, beliau juga terkejut kerana menurut hantaran itu jeti tersebut dibina menggunakan kayu belian yang bernilai tinggi dan mengambil masa dua bulan untuk disiapkan.

Katanya, hanya bahagian binaan tangga dan tiang sahaja dipercayai menggunakan kayu belian manakala selebihnya menggunakan campuran kayu keras yang lain.

“Turut menjadi persoalan kepada kami projek ini dikatakan mengambil masa tiga bulan namun dua bulan siap awal daripada jadual sedangkan kontraktor hanya menyiapkan projek itu dalam tempoh tiga hari,” katanya.

Malah beliau dan penduduk di situ melahirkan tidak puas hati dan perasaan ragu-ragu dengan keselamatan jeti tersebut.

“Sepatutnya jeti ini mempunyai susur tangan, pagar dan atap untuk keselamatan dan keselesaan penduduk. Malah tinjauan kami mendapati jeti ini tidak mempunyai palang yang mencukupi. Mujurlah ada dua tangga, jika tidak ia mungkin tidak stabil,” katanya.

Mereka berharap, kerajaan dapat menambah ciri-ciri keselamatan pada jeti itu untuk keselamatan penduduk kampung termasuk memasang atap, susur tangan dan pagar.

Mohamad Nor Tambi ketika berada di atas jeti Kampung Mutap.
Mohamad Nor Tambi ketika berada di atas jeti Kampung Mutap.

JKR Bahagian Miri telah menyiarkan kenyataannya pada 6 April lalu mengenai penyiapan jeti baharu Kampung Mutap di Bekenu yang bernilai RM50,000 menerusi laman Facebook Komunikasi Korporat JKR Sarawak.

Bagaimanapun kenyataan di laman Facebook berkenaan menjadi tular apabila netizen mula mempersoalkan dan melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan kos projek tersebut. 

JKR Bahagian Miri menjelaskan kos pembinaan semula jeti baharu Kampung Mutap di Bekenu, di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) tinggi kerana ia melibatkan kayu keras jenis belian yang bernilai tinggi, termasuk platform sementara untuk pembinaan jeti tersebut. 

“Anggaran kos kami adalah berdasarkan Jadual Kadar JKR Sarawak tahun 2020 dengan kadar RM9,000.00 satu meter kubik bagi kayu belian, iaitu nilai yang lebih rendah berbanding harga pasaran semasa," demikian menurut kenyataan itu.

  • oleh
  • Advertisement