Anda di sini

Tidak diberi wang, lelaki ugut racun ibu bapa

Advertisement
Suspek (tengah) berjaya ditangkap polis selepas dipercayai mengamuk dan melakukan ugutan jenayah terhadap keluarganya. 
Suspek (tengah) berjaya ditangkap polis selepas dipercayai mengamuk dan melakukan ugutan jenayah terhadap keluarganya. 

MIRI: Gara-gara permintaannya untuk mendapatkan wang tidak dilayan, seorang lelaki tergamak mengugut untuk meletakkan racun pada makanan ibu bapanya dalam kejadian di sebuah rumah panjang di Sungai Kelitang Bekenu dekat sini pada Jumaat lepas. 

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, suspek berusia 34 tahun itu tiba-tiba mengamuk selepas tidak diberi wang seperti yang diminta. 

Difahamkan, suspek dipercayai mengamuk menggunakan senjata tajam dan mengugut meletakkan racun ke dalam beras yang disimpan di rak dapur keluarganya. 

Susulan kejadian itu, pengadu sempat lari menyelamatkan diri ke Balai Polis Bekenu. 

Bertindak daripada laporan yang diterima, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Miri menangkap suspek kurang dua jam selepas menerima laporan terbabit. 

Sehubungan itu, suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan selanjutnya. 

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Mohd Sabri Zainol ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. 

Advertisement