Anda di sini

Dua syarikat usaha sama bida tender bekalkan kenderaan ART bagi projek KUTS

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) pada Rabu mengumumkan telah menerima dua bidaan untuk tender Pakej Sistem 1 bagi projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Ia menjelaskan, tender tersebut melibatkan pembekalan gerabak kereta api (kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART) dikuasakan oleh hidrogen, peralatan depoh dan penyelenggaraan kenderaan, sistem isyarat dan kawalan serta pintu platform automatik (APG).

“Satu daripada bidaan itu adalah oleh syarikat usaha sama yang terdiri daripada CRRC (Hong Kong) Co Ltd, CHEC Construction (M) Sdn Bhd dan KACC Construction Sdn Bhd, (manakala) bidaan lain daripada syarikat usaha sama meliputi EPR (Kuching) Sdn Bhd, Global Rail Sdn Bhd dan Mobilus Sdn Bhd,” menurut Sarawak Metro dalam kenyataan.

Sebagai keperluan pelaksanaan tender, setiap usaha sama perlu melibatkan rakan kongsi tempatan Sarawak, yang mana syarikat tempatan Sarawak dalam usaha sama yang menyertai bidaan tender ini ialah KACC Construction an EPR (Kuching).

Syarikat usaha sama ketiga, yang sebelum ini menyatakan minat untuk mengambil bahagian dalam tender itu, bagaimanapun tidak menyerahkan bidaannya sebelum atau pada tarikh tutup 31 Mac, 2022, jelasnya.

Kontrak kepada pembida yang berjaya dijangka diberikan pada suku kedua 2022.

Sarawak Metro, anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), mengiklankan dalam penerbitan antarabangsa dan nasional pada pertengahan 2021 supaya syarikat-syarikat mendaftar sebagai vendor gerabak kereta api.

Sarawak Metro akan membuka tender bagi Pakej Sistem 2 projek KUTS (Fasa 1) pada suku kedua tahun ini, yang merangkumi pembekalan sistem komunikasi (COMMS), kutipan tambang automatik (AFC), sistem teknologi maklumat (ITS), kawalan penyeliaan dan pemerolehan data (SCADA), sistem pengurusan penyelenggaraan berkomputer (CMMS) dan pusat kawalan operasi ( OCC).

Pembangunan projek KUTS akan dijalankan secara berperingkat dengan fasa pertama melibatkan pembangunan dua laluan iaitu Laluan Samarahan yang meliputi jarak kira-kira 28 kilometer dari Rembus ke pusat bandar serta Laluan Serian (24 kilometer) dari Batu 12 Lebuhraya Kuching-Serian ke Isthmus.

Perkhidmatan penumpang bagi ART ini akan diperkenalkan secara berperingkat, bermula suku keempat 2025. - BERNAMA

Advertisement